Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kalangan golongan B40 mula menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, menerusi inisiatif Budi MadaniRON95 (BUDI95), hari ini.
Tinjauan di beberapa stesen minyak mendapati orang ramai bersyukur dan berpuas hati dengan bantuan yang meringankan kos perbelanjaan harian.
Penerima STR Syukur Nikmati Budi95
Nur Kartina Abu Bakar, 42, berkata, inisiatif kerajaan memperkenalkan program Budi Madani RON95 memberi kelegaan kepadanya yang mengusahakan perniagaan roti.
“Setiap hari bersama suami menghantar jualan ke kedai makan dan beberapa premis perniagaan di sekitar bandar ini. Setiap hari saya memerlukan sebanyak RM7 sehari untuk mengisi minyak.
“Dengan adanya program BUDI95 ini, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan perbelanjaan minyak yang purata setiap bulan sebanyak kira-kira lebih RM200.
“Walaupun pengurangan enam sen setiap liter, ia sangat menjimatkan dan ia boleh digunakan untuk tambahan keperluan lain seperti perbelanjaan sekolah anak dan sebagainya,” katanya yang memiliki empat anak bersekolah.
Sementara itu, warga emas, Mohamad Jusoh, 68, berkata, program ini sangat membantu rakyat terutama mereka daripada golongan tidak berkemampuan dan memiliki keluarga besar.
“Terima kasih kepada kerajaan Madani kerana menurunkan harga minyak dan ia sangat membantu meringankan beban walaupun hanya turun sebanyak enam sen. Ia sangat membantu,” katanya yang menjalankan perniagaan makanan ringan dari rumah ke rumah.
Manakala bagi Shahril Abdullah, 45, rakyat perlu mengambil peluang yang diberikan kerajaan kerana ia disifatkan sesuatu yang dapat membantu kos perbelanjaan dalam keluarga, terutama yang memiliki anak ramai.
“Penggunaan MyKad juga dapat membantu mengelak berlaku ketirisan bahan api ini,” katanya yang bekerja sebagai kakitangan awam.
Pelaksanaan bagi kumpulan kedua itu menyusuli kejayaan fasa pertama bagi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam.
Pelaksanaan Budi RON95 dijangka diperluas kepada kira-kira 16 juta warganegara Malaysia yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif bermula 30 September ini.
Sumber: Harian Metro (Zaid Salim)
