Sebanyak 141 petugas haji terdiri daripada kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berlepas ke Arab Saudi hari ini bagi melaksanakan persiapan awal operasi haji musim 1447H/2026M.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, pasukan tersebut merupakan kumpulan awal yang akan membuat persiapan sebelum ketibaan 31,600 bakal jemaah haji Malaysia.
“Pasukan awal pertama petugas haji itu melibatkan 61 petugas rombongan kebajikan dan 80 petugas rombongan perubatan.
“Pasukan kedua sebanyak 107 orang akan berlepas pada 15 April ini,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, TH telah membuat persiapan rapi tahun ini dari segi latihan, kepimpinan dan kursus bagi memastikan kelancaran operasi haji.
“Pasukan TH daripada pelbagai latar belakang, kepakaran dan pengalaman inilah yang membentuk satu pasukan yang kuat dan mampu memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada jemaah haji negara,” katanya.
Menurutnya lagi, semua petugas yang dipilih telah menjalani kursus komprehensif bagi meningkatkan kecekapan, pengetahuan dan kemahiran dalam memastikan mereka benar-benar bersedia melaksanakan tanggungjawab menyantuni jemaah haji.
Dalam masa sama, beliau menegaskan petugas haji yang terpilih memikul amanah besar sebagai barisan hadapan dalam menyantuni dhuyufurrahman sepanjang musim haji.
Zulkifli turut mendoakan agar semua urusan operasi haji dipermudahkan serta petugas dan jemaah sentiasa berada dalam lindungan sepanjang berada di Tanah Suci.
Untuk rekod, penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan bermula pada 18 April ini, manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei.
Artikel lain: Harga Minyak Global Meningkat, Kos Haji 1447H kekal RM33,300
Hari Wukuf yang menjadi kemuncak ibadah haji pula dijangka berlangsung pada 26 Mei.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas akan digunakan bagi membawa jemaah haji Malaysia menerusi syarikat AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines.
Proses keberangkatan jemaah akan melibatkan lapan stesen berlepas utama di seluruh negara iaitu Kota Bharu, Kuala Terengganu, Alor Setar, Bayan Lepas, Senai, Kuching, Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sumber: FB Tabung Haji, BERNAMA













































