Nilai pasaran tujuh pemain warisan negara yang suatu ketika dahulu mencecah jutaan ringgit kini merudum ke tahap sifar, susulan hukuman penggantungan selama 12 bulan yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Kesemua tujuh pemain warisan digantung setahun
Menurut laporan Harian Metro, perkembangan itu disahkan menerusi kemas kini terbaharu laman statistik bola sepak antarabangsa, Transfermarkt.com, yang merekodkan kesemua pemain terbabit tanpa nilai pasaran aktif selepas keputusan hukuman diumumkan.
Pemain sayap, Imanol Machuca mencatat kejatuhan paling ketara apabila nilai pasarannya menjunam daripada RM11.9 juta kepada sifar.
penurunan besar turut dialami pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Joao Figueirido yang kehilangan nilai sebanyak RM9.58 juta, diikuti pertahanan tengah Facundo Garces dengan penurunan RM4.79 juta.
Artikel lain: FIFA Bongkar Asal Usul Datuk, Nenek Tujuh Pemain Warisan Harimau Malaya
Jon Irazabal pula menyaksikan susut nilai sebanyak RM2.87 juta, manakala Rodrigo Holgado dan Hector Hevel masing-masing merosot RM2.16 juta dan RM1.91 juta.
Seorang lagi pemain, Gabriel Palmero yang sebelum ini bernilai RM239,000 turut dikemas kini pada angka sifar.
Kesemua tujuh pemain tersebut sebelum ini dikenakan denda sebanyak RM10,560 serta digantung selama setahun oleh FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Bukan itu sahaja, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut menerima tempias apabila dikenakan denda berjumlah RM1.8 juta, sebagai langkah disiplin terhadap isu serius yang mencetuskan kontroversi besar dalam landskap bola sepak negara.
Bagaimanapun, FAM memilih untuk membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebagai usaha terakhir bagi melengkapkan proses perundangan, sambil menunggu keputusan yang dijangka memberi impak besar terhadap hala tuju bola sepak Malaysia.
Hukuman tambahan FIFA turut menyaksikan keputusan tiga aksi persahabatan Harimau Malaya dibatalkan, dengan skuad kebangsaan dianggap tewas 0-3 kepada Cape Verde, Singapura dan Palestin selepas didapati menurunkan pemain yang tidak layak.
Impaknya, ranking FIFA Malaysia merosot lima anak tangga ke kedudukan ke-121 dunia, berbanding ranking ke-116 sebelum ini meskipun skuad negara mencatat rekod tanpa kalah sepanjang tahun 2025.
Situasi ini meletakkan cabaran besar buat FAM dan pasukan kebangsaan yang kini perlu menyusun semula strategi bagi memastikan kebangkitan semula dalam menghadapi kejohanan antarabangsa akan datang.
Sumber: Harian Metro (Syazwan Msar)







































