Kerajaan Malaysia dan Hungary memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Stipendium Hungaricum Scholarships bagi tempoh 2026 hingga 2028.
Ia sekali gus memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.
Perjanjian tersebut dimeterai di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) susulan kunjungan hormat Duta Besar Hungary ke Malaysia, TYT Dr. Sándor Sipos bagi memperincikan hala tuju strategik kerjasama akademik dua hala.
Dokumen berkenaan ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim mewakili Malaysia, manakala Kerajaan Hungary diwakili TYT Dr. Sándor Sipos.
Melalui kerjasama ini, Hungary menawarkan sebanyak 40 biasiswa penuh setiap tahun kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) bermula 2026.
Biasiswa tersebut merangkumi yuran pengajian penuh, elaun sara hidup, kemudahan penginapan serta perlindungan insurans kesihatan sepanjang tempoh pengajian.
“Program biasiswa antarabangsa itu terus menjadi pilihan utama mahasiswa tempatan apabila merekodkan sambutan luar biasa mencecah 350 permohonan bagi mengisi kuota 40 tempat yang disediakan pada sesi akademik lalu,”menurut kenyataan, hari ini.
Kerajaan Hungary turut menyediakan kira-kira 12,000 biasiswa setiap tahun kepada pelajar dari seluruh dunia melalui inisiatif pendidikan global negara itu.
Artikel lain: RMK13 Buka Laluan Baharu! KPT Sedia Perkasa Pendidikan Tinggi Negara
Kerjasama ini dijangka terus memperkukuh hubungan pendidikan tinggi Malaysia–Hungary, selain membuka lebih banyak peluang mobiliti global dan jaringan akademik antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara.
Turut hadir bersama Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia, Dato’ Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran; Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin; serta Setiausaha Bahagian Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT, Datin Noorazah Omar.











































