Hanya tinggal sebuah kapal dalam armada Flotila Global Sumud (GSF) yang masih meneruskan pelayaran ke Gaza selepas hampir semua 42 kapal lain dipintas secara haram oleh tentera Israel.
Menurut penganjur misi, kapal yang dikenali sebagai Marinette itu kini menjadi tumpuan dunia selepas lebih 450 aktivis daripada pelbagai negara ditahan dalam operasi ketenteraan Israel terhadap flotila berkenaan.
“Penumpang kapal-kapal yang ditahan diculik secara menyalahi undang-undang. Dunia sedang menyaksikan apa yang berlaku apabila orang awam mencabar kepungan Israel. Namun Marinette tetap berlayar,” katanya.
Artikel lain: GSF: Haroqs Ditahan, Hasrat Bawa Coklat Untuk Kanak-Kanak Di Sana Tidak Kesampaian
Jawatankuasa Antarabangsa untuk Memecahkan Kepungan ke atas Gaza (ICBSG) memaklumkan, Marinette sedang menuju ke Gaza tetapi mengalami kelewatan kerana masalah teknikal.
Kapal yang berdaftar di bawah bendera Poland itu membawa enam penumpang di dalamnya.
Aktivis yang terlibat dalam misi flotila kali ini datang dari pelbagai negara termasuk Sepanyol, Itali, Brazil, Turki, Greece, Amerika Syarikat, Jerman, Sweden, Britain dan Perancis.
Reuters melaporkan siaran langsung penganjur menunjukkan kru Marinette terus mengemudi kapal berkenaan yang berada kira-kira 80 batu nautika dari Gaza pada malam Khamis, iaitu hanya 10 batu nautika dari lokasi Israel mula memintas kapal-kapal lain.
Berdasarkan data penjejakan semasa, Marinette kini kekal sebagai satu-satunya kapal GSF yang masih berada di laut selepas puluhan kapal lain diambil alih oleh tentera Israel.
Sumber: Harian Metro
