Dua lelaki dipercayai mempunyai hubungan beranak bapa-anak ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya ditemui dalam keadaan dikerat dan dibuang di tapak pelupusan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar, pada Khamis.
Kes kerat wanita
Suspek yang ditahan masing-masing berusia lingkungan 70-an dan 19 tahun diberkas dalam operasi berasingan yang dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan kerjasama unit D7 dan D9.

Foto: Media sosial
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada konflik hubungan peribadi serta isu tuntutan pemulangan wang pertunangan antara mangsa dan suspek utama.
Menurutnya, bertindak atas maklumat risikan dan keterangan saksi, polis menjalankan operasi sekitar jam 4.30 petang di Kampung Sri Kenangan, Sepanggar.
Saksi mendakwa, mangsa pernah dilihat berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki.

Foto: Facebook Polis Daerah Kota Kinabalu
“Susulan itu, pada jam 8.10 malam, seorang lelaki lingkungan 70-an ditahan di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk membantu siasatan.
“Kira-kira dua jam kemudian, seorang lagi lelaki berusia 19 tahun turut ditahan di sebuah unit kediaman di Taman Seri Maju Apartment, Sepanggar kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Artikel lain: Mayat Wanita Dikerat! Kepala, Badan Ditemui Di Lokasi Berhampiran Anggota Lain

Foto: Facebook Polis Daerah Kota Kinabalu
Dalam operasi tersebut, polis turut merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian yang dipercayai dipakai ketika kejadian serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail.
Syed Lot memaklumkan, hasil soal siasat awal mendapati suspek utama mengaku terlibat dan memaklumkan motif kejadian dipercayai berkait rapat dengan perselisihan hubungan serta tuntutan wang pertunangan.
“Mangsa dan suspek dipercayai mempunyai hubungan sebagai tunang,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan.
Sumber: Facebook Polis Daerah Kota Kinabalu







































