Kejadian seorang suami membunuh isterinya dengan menggunakan tukul besi semalam di Kampung Besol, Bukit Besi, Dungun benar-benar mengejutkan.
Suspek yang berusia 32 tahun dikatakan membunuh isterinya, Rubiah Sabtu, 41 disebabkan cemburu selepas berlaku perbahalan setelah isterinya itu pulang dari menghantar anak ke sekolah kira-kira jam 8 pagi.
Anak sulung tak percaya
Memetik laporan dari Harian Metro, anak sulung allahyarham bersama bekas suami, Mohamad Daniel Mohd Radzi, 18 memaklumkan yang dirinya tidak percaya bapa tiri sanggup membunuh ibu tersayang.
Menurut Daniel, sebelum Ramadan ibunya ada merajuk dengannya kerana mahu ke Melaka bagi membantu ibu saudara serta nenek berniaga di bazar Ramadan.
Allahyarham pada awalnya tidak memberi keizinan kepadanya namun dia memujuk dengan mengatakan bahawa pendapatan tersebut adalah untuk membantu membuat persiapan hari raya adik-adik yang lain.
Anak berada di Melaka bantu nenek berniaga
Akhirnya, Daniel mendapat keizinan dan dia bertolak ke Melaka tiga hari sebelum Ramadan dan berjanji untuk pulang seminggu sebelum Aidilfitri.
“Selepas memberitahu hasrat untuk ke rumah ibu saudara di Melaka, ibu beria-ia tidak membenarkan saya pergi, tetapi saya memujuk dengan alasan mahu cari duit bantu ibu dan adik-adik untuk persiapan hari raya dan berjanji akan pulang ke kampung seminggu sebelum Aidilfitri.
“Selepas itu, baru ibu benarkan saya pergi dan berkali-kali berpesan supaya saya menjaga diri sepanjang tinggal dengan ibu saudara dan nenek. Tak sangka pesanan ibu itu pesanan terakhir.
“Ibu tidak pernah berpisah dengan anak-anak. Terkejut, sedih dan tidak menyangka sepanjang ketiadaan saya, kejadian ini berlaku,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Bapa tiri baik dengan ibu
Dia yang mendapat khabar bahawa ibunya telah tiada akui tidak percaya memandangkan allahyarham menjadi mangsa bunuh bapa tirinya sendiri.
“Ketika itu, saya tidur. Selepas nenek beritahu ibu sudah meninggal (dunia), saya rasa macam tak percaya, lebih mengejutkan apabila kematian ibu sebab kena bunuh dengan ayah (tiri),” katanya.
Jelas Daniel lagi, sepanjang setahun bergelar suami kepada ibunya, lelaki tersebut dilihat sebagai seorang yang baik, namun memang ada beberapa kali berlaku pertengkaran antara mereka tetapi berbaik semula.
“Tetapi tidak lama (bergaduh) dan hubungan mereka kembali baik. Kali ini, saya tidak tahu apa sebenarnya berlaku sehingga ayah tergamak memukul ibu hingga mati kerana saya tidak ada di situ (rumah) ketika kejadian,” katanya.
Semalam, seorang wanita dilaporkan meninggal dunia di ruang tamu rumah selepas dibunuh menggunakan tukul besi oleh suaminya sendiri.
Selepas membunuh mangsa, suspek difahamkan telah ke rumah kakaknya memberitahu bahawa telah membunuh isteri dalam keadaan menangis ketakutan.
Difahamkan, allahyarham telah meninggalkan 6 orang anak hasil perkahwinan terdahulu dan seorang bayi berusia 6 bulan.
Sumber: Harian Metro (Zaid Salim)