“Doakan anak sulung mereka, Kakak Qisya diberikan kekuatan luar biasa,” demikian luahan adik kepada Allahyarham Mohammad Azim Izat Ishak, salah seorang daripada enam sekeluarga yang maut dalam tragedi kereta terjunam ke dalam Sungai Korok, di sini.
Menerusi satu hantaran di media sosial, adik mangsa, Nur Adliah Shuhada Ishak, 26, meluahkan rasa syukur atas keprihatinan orang ramai yang membantu menularkan kehilangan abangnya dan keluarga sejak Sabtu lalu.
“Alhamdulillah, kuasa tular sangat membantu kami sekeluarga dalam mencari abang sekeluarga yang hilang dua hari lepas, bermula pagi Sabtu. Allah sahaja yang tahu perasaan kami semua saat ini. Mohon semua doakan agar segala urusan dipermudahkan,” katanya.
Keluarga Reda Pemergian Enam Beranak
Dalam pada itu, beliau juga memohon orang ramai yang mengenali pasangan suami isteri itu agar menghalalkan segala urusan sekiranya terdapat sebarang hutang atau urusan belum selesai.
“Sesiapa yang mengenali abang dan kakak, mohon maafkan mereka. Jika mereka ada hutang apa-apa, harap boleh berhubung dengan saya atau mana-mana ahli keluarga terdekat,” katanya lagi.
Menurut Nur Adliah, arwah abangnya merupakan individu yang rapat dengannya sekeluarga, malah anak-anak saudaranya turut akrab dengan dirinya dan suami.
“Arwah sangat baik dan rapat dengan saya, suami dan anak. Tak terungkap perasaan ketika ini. Allah sahaja mampu membalas segalanya,” kongsi Nur Adliah.
Beliau turut memaklumkan bahawa pasangan suami isteri berkenaan pernah kehilangan seorang anak lelaki kembar pada 5 Februari lalu, sebelum mereka sekeluarga pula dijemput Ilahi pada 5 Julai.
Jenazah semua mangsa akan dikebumikan di Jerlun, manakala majlis bacaan Yassin dijadualkan malam ini di kediamannya di Jitra.
Artikel lain: Korban 6 Beranak: Suap Tanpa Dipinta, Adik Tak Sangka Itu Kenangan Terakhir Sebelum Abang ‘Pergi’
Terdahulu, media melaporkan enam beranak ditemukan maut dalam kereta Proton Iswara yang terjunam ke dalam Sungai Korok selepas dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.
Mereka terdiri daripada pasangan suami isteri dan empat anak berusia enam bulan hingga sembilan tahun. Mangsa dipercayai gagal menyelamatkan diri apabila kenderaan terbabas dan tenggelam ke dasar sungai.
Sumber: FB Adliah Syuhada
