Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 9 hingga 15 April meningkat kepada RM6.72 seliter berbanding RM6.02 sebelum ini.
Kementerian Kewangan memaklumkan, harga RON97 tanpa subsidi turut meningkat kepada RM5.35 seliter, manakala RON95 naik kepada RM4.27 seliter.
Menurut kementerian itu, kenaikan berkenaan berpunca daripada lonjakan harga minyak mentah global sejak lima minggu lalu susulan krisis tenaga di Asia Barat yang meningkatkan kos petroleum serta kos berkaitan termasuk logistik dan insurans.
“Harga minyak mentah global melonjak sejak lima minggu lalu susulan krisis tenaga di Asia Barat yang meningkatkan kos petroleum serta kos berkaitan termasuk logistik dan insurans.
“Walaupun terdapat penurunan harga minyak mentah global hari ini berikutan pengumuman gencatan senjata, kesannya tidak serta-merta diterjemahkan kepada penurunan harga runcit bahan api di Malaysia.
“Ini kerana harga pam di negara ini ditentukan berdasarkan purata harga petrol dan diesel minggu sebelumnya dan bukannya harga semasa hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Artikel lain: Harga Minyak Global Melonjak, Kerajaan Terus Kekal Subsidi Demi Lindungi Rakyat – MoF
“Ia telah mencecah sekitar AS$150 setong bagi produk petrol dan AS$250 setong bagi produk diesel dan ini terus mempengaruhi harga runcit di dalam negara,” katanya.
Tambahnya, kerajaan terus mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat serta sektor tertentu.
“RON95 menerusi Budi Madani (Budi95) kekal RM1.99 seliter, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula RM2.15 seliter,” menurutnya lagi
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.









































