Empat rakyat Malaysia termasuk pasangan suami isteri memulakan kayuhan menuju ke tanah suci, Mekah sejauh 12,000 kilometer di sini hari ini.
Perjalanan yang dijangka mengambil masa selama tujuh bulan itu bakal merentas tujuh negara termasuk Thailand, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum tiba di Arab Saudi.
Perjalanan merentas sempadan itu disertai empat individu yang mempunyai iltizam tinggi demi menunaikan rukun Islam kelima, tahun hadapan.
Menurut ketua Ekspedisi itu, Che Saad Nordin, 73 tahun, status warga emas yang dipegangnya bukan batu penghalang bagi mencapai hasrat berkenaan.
Che Saad yang berasal dari Baling, Kedah akan disertai tiga lagi rakannya dalam ekspedisi berkenaan iaitu Abdul Halim Talha, 56, serta pasangan suami isteri, Ahmad Mohd Isa, 35 dan Noradilah Mohd Shafie, 36.
Ini pengalaman kedua buat pasangan suami isteri itu yang pernah ke Mekah menaiki basikal pada 2016.
Ujar Che Saad, bagi berdepan pelbagai rintangan dan ujian beliau telah berlatih sejak dua tahun lalu, antara latihannya mengadakan ekspedisi mengelilingi Semenanjung sempena sambutan Merdeka.
Bekas wartawan itu menjelaskan misi berkenaan telah dirancang lama namun terpaksa ditangguhkan atas pelbagai masalah yang tidak dapat dielakkan termasuk pendemik covid-19.
“Saya mahu menggunakan nikmat kesihatan ini dengan berkayuh ke Tanah Suci bersama rakan-rakan. Saya pernah menunaikan haji sebanyak tiga kali dan umrah dua kali menggunakan kapal terbang. Perjalanan kali ini sudah tentu jauh berbeza apabila dapat bermusafir di negara orang di samping melihat negara orang” katanya.
Beliau ditemui ketika acara pelepasan peserta kayuhan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong, di sini, hari ini.
Kayuhan bermula di FRIM sebelum melalui Kuala Selangor, Sabak Bernam, Tanjung Malim sehingga menuju ke utara tanah air.
Mereka menggunakan wang tabungan sendiri bagi merealisasikan misi berkenaan dan dijangka tiba di Arab Saudi pada pertengahan Mei, tahun hadapan. – Buletin TV3
Artikel lain: Guna Nikmat Kesihatan, Empat Rakyat Malaysia Mula Kayuhan Sejauh 12,000 KM Ke Mekah
Sumber: Buletin TV3