Connect with us

Hi, what are you looking for?

Lokal

Ekstremisme Digital Semakin Kompleks, Sasar Golongan Muda

Ekstremisme digital pada era kini semakin berkembang dalam bentuk yang lebih kompleks dan tersusun, apabila kumpulan ekstremis tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada propaganda terbuka, sebaliknya menggunakan naratif strategik untuk mempengaruhi emosi, pemikiran dan identiti individu khususnya golongan belia.

Pensyarah Kanan (Bidang Kaunseling), Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nurul Fazzuan Khalid berkata, pendekatan berasaskan naratif ini dibina secara sistematik bagi mewajarkan tindakan ekstrem serta menarik sokongan secara berperingkat tanpa disedari oleh sasaran.

Menurut beliau, antara teknik utama yang sering digunakan ialah naratif mangsa iaitu meletakkan sesuatu kumpulan sebagai pihak yang kononnya dizalimi.

Foto: Dr Nurul Fazzuan Khalid

Naratif ini bertujuan membangkitkan emosi simpati, kemarahan dan solidariti, sekali gus mewujudkan justifikasi moral terhadap tindakan agresif atau ekstrem.

“Selain itu, naratif ancaman turut dimanfaatkan untuk menimbulkan persepsi bahawa identiti, agama atau budaya individu berada dalam keadaan terancam.
“Apabila ketakutan dimanipulasi secara berterusan, keupayaan untuk berfikir secara kritikal akan berkurangan,” katanya.

Mengulas mengapa belia menjadi kumpulan paling terdedah, Dr Nurul Fazzuan menjelaskan bahawa golongan ini berada dalam fasa perkembangan identiti yang kritikal.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Keperluan kepada rasa kekitaan, makna hidup dan tujuan sering dieksploitasi oleh kumpulan ekstremis melalui naratif yang membangkitkan rasa kepahlawanan dan tanggungjawab moral.

“Belia yang mengalami kekosongan identiti, tekanan emosi atau keterasingan sosial lebih mudah terpengaruh apabila ditawarkan identiti baharu yang dianggap lebih bermaruah dan bermakna,” jelas beliau.

Faktor ini diburukkan lagi dengan persekitaran digital masa kini. Pendedahan berulang kepada kandungan berunsur radikal, ditambah pula dengan algoritma media sosial yang membentuk ‘ruang gema’, boleh mengukuhkan pandangan ekstrem dan mempercepatkan proses radikalisasi secara senyap.

Dalam konteks ini, beliau menegaskan bahawa platform digital dan media sosial perlu memainkan peranan lebih aktif dalam usaha pencegahan.

Foto: Bernama

Katanya pendidikan literasi media amat penting bagi membantu pengguna menilai kesahihan maklumat, mengenal pasti kandungan manipulatif dan memahami teknik propaganda yang digunakan oleh kumpulan ekstremis.

“Selain penapisan kandungan berisiko tinggi, platform juga perlu mempromosikan naratif alternatif yang positif dan inklusif, yang menekankan toleransi, penyelesaian konflik secara aman serta pembangunan identiti yang sihat,” ujarnya.

Menyentuh soal penguatkuasaan undang-undang, beliau berpandangan bahawa peruntukan sedia ada di Malaysia seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Antikeganasan 2015 merupakan asas penting dalam menangani ekstremisme.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Namun, cabaran dunia digital memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dan proaktif.

“Kandungan ekstrem kini sering disampaikan dalam bentuk tersirat seperti video, visual dramatik atau meme yang memanipulasi emosi. Justeru, undang-undang sahaja tidak mencukupi tanpa digabungkan dengan pendidikan, intervensi kaunseling dan sokongan komuniti,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa usaha membina daya tahan psikososial belia perlu diperkukuhkan secara berterusan.

Gabungan pendidikan literasi digital, sokongan sosial, intervensi awal dan penglibatan komuniti dilihat sebagai pendekatan paling berkesan untuk melindungi golongan muda daripada pengaruh ekstremisme digital.

“Pencegahan ekstremisme bukan sekadar isu keselamatan, tetapi isu kesejahteraan sosial dan emosi masyarakat secara keseluruhan,” tambahnya lagi.
Advertisement. Scroll to continue reading.

Written By Nor Hidayah

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Lokal

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026 yang menawarkan hadiah bernilai hampir RM1.4 juta kepada 954 pemenang. Pengerusi PTPTN,...

Lokal

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah berkaitan pengurusan sisa...

Sosial

Personaliti media sosial, Nurin Lofa mengejutkan ramai apabila memuat naik rakaman video luahan hatinya di platform TikTok mendakwa dicurangi oleh suami Fadrul Anuar. Pempengaruh...

Lokal

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, enggan ulas dakwaan yang dilemparkan terhadapnya, sebaliknya menekankan kesediaannya untuk...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd