Pemerintah Kota Medan, Sumatera Utara mengambil keputusan untuk memulangkan bantuan kemanusiaan yang diterima daripada Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), walaupun bantuan tersebut disalurkan bagi membantu mangsa banjir di kawasan berkenaan.
Menurut laporan CNN Indonesia, Datuk Bandar Medan, Rico Waas berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan perbincangan dan koordinasi bersama Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB).
Menurut beliau, ketika ini bantuan daripada kerajaan pusat masih mencukupi dan sedang disalurkan secaraa berterusan kepada mangsa banjir di Medan, justeru bantuan daripada UAE dianggap tidak perlu untuk digunakan buat masa ini.
“Kerajaan pusat masih memberikan bantuan kepada kami. Selepas berbincang dengan BNPB, kami bersetuju bahawa adalah lebih baik bantuan tersebut dipulangkan semula kepada pihak UAE,” katanya.
Artikel lain: Banjir Aceh: Bantuan Dari Malaysia ‘Tak Seberapa’ – Menteri Dalam Negeri Indonesia
Bantuan yang diterima sebelum ini merangkumi kira-kira 30 tan beras, 300 pakej barangan keperluan asas, selain kelengkapan bayi serta peralatan ibadah solat.
Rico menjelaskan, kesemua barangan tersebut belum sempat diagihkan kepada penduduk terjejas dan dipulangkan dalam keadaan lengkap.
“Semua bantuan dikembalikan sepenuhnya tanpa kekurangan. Pemko Medan masih menyalurkan bantuan sedia ada kepada mangsa,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai proses pemulangan bantuan, Rico berkata perkara itu akan dilaksanakan mengikut kaedah dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak UAE.
“Nanti teknikal pemulangan akan ditentukan oleh pihak UEA sendiri. Kami hanya akan memulangkan semula bantuan tersebut,” jelasnya.
Ketika ditanya sama ada terdapat teguran daripada kerajaan pusat atau kerajaan wilayah berkaitan penerimaan bantuan antarabangsa itu, Rico enggan mengulas secara terperinci.
“Yang penting, keputusan untuk memulangkan bantuan dibuat selepas koordinasi dan perbincangan bersama pihak berkaitan,” tambahnya.
Walaupun bantuan dipulangkan, beliau tetap merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan UAE atas keprihatinan mereka terhadap mangsa banjir di sana
“Kami amat menghargai niat baik dan keprihatinan UAE. Namun selepas pertimbangan, keputusan terbaik adalah memulangkannya,” katanya.
Menurut Rico, sehingga kini Pemko Medan masih mempunyai bekalan dan bantuan daripada kerajaan pusat yang mencukupi untuk usaha pemulihan pasca banjir.
“Kami akan memaksimumkan dahulu apa yang ada di peringkat kerajaan kota Medan,” ungkapnya.
Sebelum ini, Datuk Bandar menerima bantuan logistik tersebut secara rasmi daripada Wakil Duta Besar UAE, Shaima Al Hebsi di Pusat Operasi Bantuan Bencana Kota Medan di Medan Petisah pada 13 Disember lalu.
Untuk rekod, banjir besar melanda 19 kecamatan di Kota Medan susulan hujan lebat berterusan yang berlaku pada 25 November lalu.
Sumber: CNN Indonesia







































