Kerajaan dijangka mengutip hasil cukai sebanyak RM700 juta setahun daripada pelaksanaan Cukai Barangan Mewah atau kini dikenali sebagai Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT).
Sehubungan itu, Kementerian Kewangan (MoF) berkata, rang undang-undang berkenaan HVGT dicadangkan untuk dibentangkan dalam sesi Parlimen yang sedang bersidang.
“… dan sekiranya diluluskan perundangan itu dicadangkan berkuat kuasa pada 1 Mei 2024,” kata kementerian itu menerusi jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, semalam.
Cukai HVGT
Artikel lain: Cukai 10% Pembelian Online Bawah RM500 Hanya Untuk Produk Import
Kementerian Kewangan berkata demikian sebagai menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin tahu jumlah jangkaan pendapatan yang diperoleh hasil daripada pelaksanaan HVGT dan tarikh pelaksanaannya.
Sementara itu, mengenai cukai jualan ke atas barang bernilai rendah (LVG) kementerian itu berkata, kerajaan menjangkakan kutipan hasil bagi tahun pertama pelaksanaan adalah sebanyak RM200 juta.
Cukai LVG dimulakan pada 1 Januari 2024, yang mana pengguna yang membeli barang secara dalam talian bernilai RM500 ke bawah dan barang itu berada di luar negara akan dikenakan cukai jualan pada kadar 10 peratus.
“Buat masa sekarang, sebanyak 52 syarikat berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Melalui cukai jualan ini, ia dijangka dapat merapatkan jurang harga antara barang keluaran tempatan dan luar negara yang seterusnya dapat memberi faedah kepada pengeluar produk tempatan,” kata MoF sebagai menjawab soalan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang bertanya bagaimana LVG boleh melindungi peniaga tempatan.
Sementara itu, menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang), yang bertanya sama ada kerajaan bercadang menurunkan kadar cukai pendapatan syarikat dalam situasi race to the bottom (bersaing antara satu sama lain) dengan negara serantau, MoF berkata, pengurangan kadar cukai itu tanpa ditampung sumber hasil baharu yang lestari seperti cukai kepenggunaan tidak sesuai dilaksanakan pada masa ini kerana ia akan menjejaskan kestabilan kedudukan fiskal kerajaan.
Sehubungan itu, melalui Belanjawan 2024, kerajaan mengumumkan pelaksanaan pengenaan Cukai Minimum Global (GMT) pada kadar 15 peratus mulai 2025 selaras dengan komitmen Malaysia terhadap piawaian percukaian antarabangsa.
GMT akan dilaksanakan ke atas syarikat multinasional yang mempunyai pendapatan global tahunan sekurang-kurangnya 750 juta euro dan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah anak syarikat yang beroperasi di sesebuah negara berbeza.
“Pelaksanaan GMT dijangka memberikan impak positif kepada negara, mengekalkan keupayaan untuk menarik pelaburan baharu dan sedia ada oleh syarikat multinasional, di samping memberi jaminan kepada pelabur terhadap perancangan negara dalam melaksanakan GMT,” katanya.
Sumber: Bernama