Pempengaruh dan penulis bidang analisis geopolitik, Ahmad Faezal muncul calon pertama yang dipilih untuk menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bersama misi Sumud Nusantara.
Pengumuman itu dibuat oleh Sumud Nusantara yang memaklumkan pemilihan peserta untuk menyertai pelayaran bot berkenaan disifatkan amat mencabar berikutan peluang yang terhad serta proses saringan yang ketat.
Ahmad Faezal Calon Pertama Dipilih Sertai Global Sumud Flotilla
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman media sosial hari ini, sesi temu duga bersama Ahmad Faezal dilakukan ketika beliau masih berada di Dimashq, Syria semasa menjalankan misi kemanusiaan.
“Beliau berada di Dimashq, di hadapan makam Salahuddin Al-Ayyubi dan kelihatan Menara Putih sebagai latar belakang ketika kami sedang bercerita.
“Semoga ia petanda baik untuk semua,” ujarnya.
Sumud Nusantara merupakan gerakan akar umbi pelbagai negara yang menyatukan hati dan suara demi Palestin.
Inisiatif berkenaan dianjurkan oleh MyAqsa Defenders dan Cinta Gaza Malaysia bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan serta luar negara.
Ia diilhamkan daripada konvoi Sumoud dari Tunisia, namun kali ini suara solidariti digerakkan dari Asia Tenggara.
Artikel lain: Misi Global Sumud Flotilla Kembali Berlayar 29 Mac Ini, Teruskan Misi Kemanusiaan Terbesar
Gerakan itu menghubungkan Malaysia, Indonesia, selatan Thailand dan beberapa negara serantau lain menuju kepada kemuncak pergerakan simbolik melalui konvoi darat, udara dan laut yang membawa bukan sahaja bantuan kemanusiaan, tetapi juga mesej advokasi yang tegas.
Matlamatnya jelas iaitu mendesak badan antarabangsa membuka koridor kemanusiaan kekal ke Gaza, sekali gus menghentikan pembunuhan berterusan dan penindasan terhadap rakyat Palestin.
Sumber: FB Ahmad Faezal











































