Kementerian Pendidikan (KPM) berusaha untuk memastikan agenda pencegahan rasuah akan terus diperkasa melalui Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
Sebagai Kementerian Peneraju bagi strategi 1: Pendidikan, pihak KPM bertanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan antirasuah menerusi enam substrategi yang telah terbahagi kepada tempoh jangka masa pendek dan sederhana.
KPM pastikan agenda NACS diperkasa dengan luncurkan Kit Duta Sahsiah
KPM juga telah berjaya meluncurkan Kit Duta Sahsiah pada 25 November 2024 di bawah Substrategi, NACS 2024-2028 sebagai pemangkin pembentukan karakter ‘karamah insaniah’ dalam kalangan murid berasaskan kepada nilai-nilai murni dan keperibadian unggul.
Difahamkan, Kit Duta Sahsiah adalah selaras dengan fokus Kementerian pada tahun 2025 ini dalam memperkasa penyampaian perkhidmatan pendidikan serta memperluas konsep Generasi MADANI KPM kepada semua penjawat awam dan institusi pendidikan.
Terdapat pelbagai modul latihan dan bahan rujukan meliputi beberapa aspek seperti komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah, yang mana ia menjadi elemen penting pembentukan karakter ‘karamah insaniah’ yang terkandung dalam Kit Duta Sahsiah.
“Duta Sahsiah yang dipilih adalah suri teladan untuk mempromosikan serta mengamalkan nilai-nilai muni dan perilaku positif seperti berdisiplin, berintegriti dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Artikel lain: KPM Sasar Selesai Sistem Sekolah Satu Sesi Menjelang 2030
KPM sangat komited dalam memastikan pemerkasaan etika, integriti dan antirasuah menerusi pendidikan seperti yang terkandung dalam NACS 2024-2028.
Hal tersebut sangat penting dalam usaha memerangi rasuah yang merupakan salah satu daripada agenda utama reformasi negara.