Guru kelas pendidikan khas, Siti Aminah Nor Mad Ali, 40, memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa dia mendengar ibu Zayn Rayyan Abdul Matin iaitu Ismanira Abdul Manaf menjerit ‘Zayn, ini salah Mummy!’ semasa lawatan ke kediaman keluarga tersebut.
Saksi dengar ibu Zayn jerit ‘Zayn, ini salah Mummy!’
Foto: Berita Harian
Keterangan ini diberikan pada hari kelima prosiding perbicaraan terhadap Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira, 30, yang didakwa mengabaikan anak mereka sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Siti Aminah yang merupakan saksi pendakwaan kesembilan berkata kejadian itu berlaku semasa beliau bersama guru besar dan dua guru penolong kanan mengunjungi rumah keluarga tersebut di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023.
“Sewaktu saya di rumah itu, ada bersama Puan Isma (Ismanira) adalah nenek Zayn, ketika itu, nenek Zayn cuba menenangkan Isma kerana Isma kelihatan seperti trauma,” katanya.
“Waktu itu Isma tak mahu makan, tak mahu minum dan tiba-tiba saya dengar Isma macam menjerit dan cakap ‘Zayn, ini salah Mummy’,” ujarnya.
Ketika memberi keterangan, Siti Aminah memaklumkan kali terakhir beliau melihat Zayn Rayyan pada jam 12.05 tengah hari, 5 Disember 2023 di pagar sekolah bersama ibunya yang datang menaiki motosikal.
Artikel lain: Ismanira Lapor Polis Selepas Lebih 5 Jam Zayn Rayyan Hilang, Air Muka Tak Nampak Risau -Saksi
“Saya ada menegur Zayn kerana itu kali pertama saya nampak dia naik sendiri atas motosikal tanpa bantuan sesiapa,” maklumnya.
Pasangan suami isteri itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sumber: Berita Harian (Suraya Roslan dan Muhamad Lokman Khairi)
![](https://borakdaily.com/wp-content/uploads/2024/01/BORAK-DAILY-v1.png)