Pelajar lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) ada peluang luas dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang sejajar dengan minat dan kecenderungan masing-masing.
Pelajar lepasan SPM ada peluang luas dalam bidang TVET
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kata di Malaysia, terdapat 1,398 institusi TVET, merangkumi 673 institusi TVET awam, 697 institusi TVET swasta dan 28 institusi TVET di bawah kerajaan negeri.
“Ekosistem TVET yang dinamik dan luas ini menawarkan pelbagai bidang kemahiran yang relevan dengan keperluan industri dan pasaran kerja semasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum itu, beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara mengucapkan tahniah kepada 402,956 calon berdaftar telah menamatkan peperiksaan SPM atas usaha dan kesungguhan mereka sepanjang tempoh peperiksaan.
![lepasan SPM](https://borakdaily.com/wp-content/uploads/2025/02/53663d10818063b0839e7e28c7e20689654c9d9dee3f0.jpeg)
Foto: BERNAMA
“Tamatnya SPM bukanlah penamat – ia adalah permulaan kepada satu fasa baharu dalam kehidupan. Kini, tibalah masanya untuk para pelajar menentukan hala tuju masa depan, sama ada dalam pendidikan tinggi atau bidang kerjaya,” ujarnya.
Ahmad Zahid menjelaskan, peluang menyambung pengajian dalam TVET terbuka sepanjang tahun dengan pelbagai pilihan fleksibel melalui Sistem UP_TVET.
“UP_TVET Flexi, yang dibuka sejak Januari 2025, membolehkan individu mengikuti latihan kemahiran secara modular dan anjal, mengikut kesesuaian jadual masing-masing.
“UP_TVET Perdana bagi Kursus Sepenuh Masa Ambilan Julai 2025 pula akan dibuka untuk permohonan pada April 2025,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut menyediakan pelbagai program TVET yang menepati keperluan industri negara sebagai peneraju utama dalam pembangunan tenaga mahir luar bandar.
Artikel lain: Asyraf Wajdi Minta Wajibkan Pelajar TVET GiatMARA Jalani Ujian Khas Baca Al-Fatihah
“Sebanyak 280 institusi di bawah KKDW, termasuk MARA, KEMAS, JAKOA, PERDA, KEDA, RISDA dan KETENGAH, menawarkan 529 program dari peringkat Sijil Kemahiran hingga Ijazah Kedoktoran, meliputi 15 kluster bidang kritikal untuk pasaran kerja semasa,” kata Ahmad Zahid.
Tambahnya lagi, kerangka Sistem Pendidikan TVET KKDW telah melahirkan ramai tenaga mahir, profesional, teknologis dan usahawan yang berjaya.
“Kadar kebolehpasaran graduan TVET KKDW mencapai 98 peratus pada tahun 2024, membuktikan bahawa TVET bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan yang luas, tetapi juga mampu membentuk masa depan yang lebih cerah.
Kerajaan komited dalam memastikan akses pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti kepada semua lapisan masyarakat. Oleh itu, saya menyeru para pelajar dan ibu bapa agar merebut peluang ini untuk membina kerjaya yang mampan dan berdaya saing,” ujarnya.
![](https://borakdaily.com/wp-content/uploads/2024/01/BORAK-DAILY-v1.png)