Dua nelayan dari Pulau Pinang hanyut selama enam hari di laut sebelum diselamatkan oleh nelayan asing di perairan Acheh, Indonesia.
Menurut laporan Kosmo! Online, Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, dan rakannya, Nor Hasrul Abdullah, 25, terpaksa memakan ikan mentah selama dua hari untuk bertahan hidup.
Nelayan Hanyut Enam Hari
Foto: Kosmo! Online
Muhammad Ikmal menceritakan pengalaman pahit yang bermula apabila bot mereka mengalami kerosakan pada malam Isnin lalu, dimana bekalan makanan mereka hanya bertahan untuk hari pertama sahaja.
Ikmal berkata mereka umpama mati hidup semula apabila berjaya diselamatkan setelah enam hari terapung-apung di laut.
“Waktu itu (bot hanyut) kami berserah sahaja kepada takdir sepanjang berada di laut.
“Hari pertama hanyut kami makan bekal (nasi), selepas bekal habis kami berpuasa tidak makan selama tiga hari, tetapi lepas itu kami terpaksa makan juga kerana tiada siapa menjumpai kami ketika itu.
“Saya tidak pernah makan ikan cencaru dan temenung mentah sepanjang hidup, saya muntah dua kali selepas rasa ikan mentah tetapi saya makan juga untuk bertahan di laut,” katanya ketika ditemui di Jeti Limbongan Batu Maung.
Foto: Harian Metro
Menurutnya, tragedi bermula apabila mereka keluar ke laut pada pukul 6 petang Isnin dan menghadapi ribut serta kerosakan peralatan sekitar pukul 12 malam Selasa.
Ketika ribut melanda, tali ‘starter’ enjin terputus dan mereka terpaksa membuang pukat untuk mengelakkan bot karam.
Artikel lain: Berkelah Di Kawasan Larangan, Lima Sekeluarga Dihanyutkan Kepala Air
Sepanjang hanyut di laut, mereka melihat banyak kapal kargo tetapi gagal mendapat bantuan kerana disangka lanun.
Akhirnya, pada hari keenam, mereka diselamatkan oleh nelayan tempatan dari Aceh yang ternampak bot mereka yang terumbang-ambing di tengah laut.
Sumber: Kosmo! Online (Noor Hasliza Nusi dan Safina Ramli)