Cadangan bagi menukar nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada nama asalnya, Universiti Pertanian Malaysia akan dibincangkan di Mesyuarat Kabinet tidak lama lagi.
Memetik laporan Astro Awani, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini kerana negara sedang menumpukan isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara.
Foto: WilayahKu
“Saya berhasrat begitu (tukar semula nama), sebab dulu asalnya memang nama Universiti Putra adalah Universiti Pertanian. Untuk kembali nama kepada Universiti Pertanian, saya ingat sesuai.
“Barangkali masa tukar nama dulu kita tidak fikir isu ‘climate change’ dan perubahan cuaca, jadi sekarang pertanian sudah jadi isu dunia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semua bincang pasal pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) bertajuk Keterjaminan Makanan yang diselaraskan oleh UPM, Serdang hari ini.
Foto: Carian Google
Untuk info pada 3 April 1997, nama asal Universiti Pertanian Malaysia telah ditukar kepada Universiti Putra Malaysia bagi menggambarkan status UPM sebagai institusi pendidikan tinggi.
UPM bukan sahaja menawarkan program pengajian dalam bidang pertanian sebaliknya pelbagai bidang lain terutamanya sains dan teknologi maklumat.
Sumber: Astro Awani