Bintang bola sepak terkemuka dunia, Neymar kini kembali beraksi buat kali pertama dalam tempoh setahun selepas masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika Al Hilal menentang Al Ain dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), awal pagi tadi.
Memetik laporan Buletin TV3, bintang Brazil itu berehat panjang akibat kecederaan ligamen lutut masuk menggantikan Nasser Al Dawsari pada minit ke-77 sejurus selepas Salem Al Dawsari meletakkan Al Hilal di depan dengan kedudukan 5-3.
Foto: Harian Metro
Dia hampir mencipta impak segera apabila bertukar hantaran dengan Aleksandar Mitrovic sebelum melepaskan rembatan yang sedikit tersasar di sebelah kiri gawang lawan.
Keputusan berakhir dengan kemenangan Al Hilal 5-4 selepas Al Ain menjaringkan penalti pada lewat permainan.
“Saya rasa bagus dan saya selalu mempunyai pasukan yang baik. Saya sangat gembira. Saya kembali! Saya kembali!,” kata Neymar.
Foto: Goal
Artikel lain: Neymar Makin ‘Menggila’? Tuntut Lapan Kereta Mewah Daripada Pemilik Al-Hilal
Bekas pemain Paris Saint-Germain itu mengalami kecederaan lutut ketika Brazil menentang Uruguay sejurus selepas berpindah ke Liga Pro Saudi. Dia menjalani pembedahan pada November lalu.
Neymar menyertai Al Hilal pada Ogos 2023 dari PSG dengan harga €90 juta (RM418 juta) tetapi hanya beraksi lima perlawanan sebelum ditimpa kecederaan.
Foto: Sud Ouest
Dia yang juga penjaring terbanyak Brazil sepanjang zaman terlepas Copa America 2024 yang dimenangi Argentina.
Neymar boleh beraksi di ACLE susulan ketiadaan had jumlah pemain asing di kejohanan itu tetapi hanya boleh didaftarkan pada Januari untuk aksi separuh kedua Liga Pro Saudi.
Sumber: Buletin TV3