Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak menghalang kebebasan bersuara seluruh warganya dalam memberi kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.
Foto: UKM
Menerusi satu kenyataan, Pusat Komunikasi Korporat UKM memaklumkan, pihaknya meraikan sebarang perbezaan pendapat yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara bangsa.
“Etika dan kematangan mengemukakan pandangan dan hujah harus diamalkan melalui tatacara berkomunikasi yang baik, menegur dan mengkritik secara berhemah
“Dimana setiap pandangan perlu disokong dengan fakta serta lingkungan disiplin keilmuan dan kepakaran,” katanya pada Khamis.
Difahamkan, kenyataan itu dibuat susulan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendakwa menerima keluhan warga akademik UKM berhubung arahan agar pegawai awam tidak boleh mengeluarkan kenyataan termasuk di media sosial.
Foto: Bernama
Menerusi satu hantaran di laman X pada Rabu, Dr Maszlee memuat naik lampiran surat pekeliling bertarikh 8 Oktober dikeluarkan Jabatan Pendaftar UKM kepada seluruh warga akademik dan kakitangannya.
Foto: X Maszlee Malik
Surat pekeliling itu mengingatkan pegawai badan berkanun tidak boleh secara lisan atau membuat penyataan awam tentang apa-apa keputusan dan isu yang boleh memburukkan dasar nama badan berkanun atau kerajaan.
Sementara itu, UKM berkata sebagai institusi yang menyanjung tinggi intelektual awam, pihaknya sentiasa konsisten dalam menggalakkan warganya untuk bersuara berteraskan kepada tradisi ilmu dan peranannya sebagai Universiti Watan.