Syarikat automotif negara, Proton Holdings Bhd (PROTON) mengumumkan nama rasmi bagi model kereta elektrik (EV) pertamanya yang dikenali sebagai Proton e.MAS 7 hari ini.
Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Dr Li Chunrong berkata, Proton e.MAS 7 merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-C yang akan menjadi penanda aras bagi permulaan baharu sejarah automotif negara.
Foto: paultan.org
“e.MAS 7 menekankan komitmen PROTON di dalam agenda EV Malaysia yang menyeru pengeluar kereta nasional untuk memperkenalkan EV menjelang 2025.
“Walaupun pelancaran penuh akan berlaku pada akhir tahun ini, pengesahan nama dan pratonton model baru ini menunjukkan pendekatan proaktif PROTON dalam memimpin industri automotif negara ke arah masa depan yang lebih lestari,” katanya.
Foto: Berita Harian
Sementara itu, PROTON memaklumkan kenderaan EV yang dibangunkan bersama Geely itu menampilkan platform Global Modular Architecture (GMA) yang canggih, memastikan prestasi kenderaan unggul, pengendalian terbaik, dan keselesaan mencukupi.
Dengan rekaan dimensi sepanjang 4,615 mm, lebar 1,901 mm, tinggi 1,670 mm, dan jarak roda 2,750 mm, e.MAS 7 menawarkan ruang dalaman yang cukup luas dengan reka bentuk luaran kontemporari untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden.
Foto: Berita Harian
Kenderaan itu juga menampilkan sistem pemacu elektrik terkini, 12-dalam-1 yang canggih selain dilengkapi dengan seni bina bateri Cell-To-Body yang inovatif dan sistem audio Flyme Auto yang diintegrasikan dengan sistem IHU tempatan.
PROTON turut memaklumkan usaha kolaboratif bersama dengan Geely merangkumi beberapa aspek penting seperti strategi produk, kejuruteraan, reka bentuk, kawalan kualiti pengeluaran dan pembangunan ekosistem tempatan.
Sumber: Berita Harian (Mohd Zaky Zainuddin)