Syarikat pengilang teknologi dron dari China, DJI dan syarikat pembekal barangan kamera dari Sweden, Hasselblad secara rasmi telah membuka kedai DJI | Hasselblad Experience pertama di Malaysia.
Menerusi satu laporan Berita Harian, DJI berkata, kedai tersebut memaparkan gabungan kemodenan dan perpaduan Kuala Lumpur dalam teknologi dan seni bagi menampilkan paparan produk premium yang diatur dengan teliti.
Foto: Berita Harian
“Setiap pengunjung boleh merasai pengalaman ke alam fotografi teknologi tinggi dan meneroka produk fotografi yang berkualiti tinggi secara langsung.
“Selain itu, bagi meraikan majlis pembukaan DJI | Hasselblad KLCC Experience Store, kempen ‘Snap and Win’ diluncurkan bermula dari 25 Jun sehingga 1 Julai,” katanya.
Foto: FB Hasselblad Malaysia
DJI berkata, kedai tersebut turut menampilkan kamera terkini Hasselblad, termasuk 907X 100C, X2D 100C, 907X 50C 80th Anniversary Edition serta banyak lagi, selain mempamerkan inovasi terkini DJI antaranya DJI Osmo Pocket 3 dan DJI Avata 2.
Sementara itu, DJI juga memaklumkan orang ramai berpeluang untuk mengunjungi kedai, mengambil gambar dan berpeluang menjadi pemenang untuk menerima hadiah yang ditawarkan melalui hantaran di media sosial dengan menggunakan (hashtag) #DJIXHASSELBLADKLCC.
Foto: FB Hasselblad Malaysia
“Seorang pemenang yang bertuah akan dipilih untuk menerima sebuah DJI Osmo Mobile 6,” ujarnya.
Untuk makluman, lokasi bagi kedai pertama DJI | Hasselblad Experience terletak di Lot 117, Tingkat 1 Suria KLCC, Kuala Lumpur.
Sumber: Berita Harian (Nur Amira Mohd Hedzer)