Seorang pempengaruh media sosial dari Jepun telah menarik perhatian rakyat Malaysia apabila dia salah faham dan menjadikan cendol sebagai ramen atau ‘sup cendol’.
Menerusi perkongsian di aplikasi TikTok, pemilik akaun @sora_fula telah memuat naik sebuah video memaparkan aktivitinya yang teruja untuk memasak ramen.
Dalam video berkenaan, wanita yang lebih dikenali sebagai Sora itu membeli satu bungkusan cendol di sebuah pasar raya yang disangka sebagai makanan ruji dari negaranya sendiri.
Meskipun dia kelihatan keliru dengan warna cendol yang dianggap sebagai ramen itu, namun Sora dengan yakin berkongsi cara-cara untuk memasak bahan tersebut dengan menumis bawang putih, taugeh lalu memasukkan air panas sebelum menambah sos, serbuk perisa dan cendol ke dalam kuali.
Selepas siap dimasak, Sora kelihatan janggal dengan tekstur cendol tersebut yang sangat lembut sekali gus menganggap ia berlaku kerana direbus terlalu lama.
Pada penghujung video, Sora telah meminta bantuan daripada netizen terutamanya dari Malaysia untuk memberikan tunjuk ajar kepadanya tentang cara sebenar untuk memasak ramen menggunakan bahan berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terhibur serta menasihati Sora untuk membuat kajian terlebih dahulu serta meluahkan rasa geram apabila wanita tersebut menjadikan pencuci mulut itu sebagai sup.
Itu cendol bukannya ramen…
Melanggar hukum cendol, selalu dekat tempat sejuk tiba-tiba jadi panas
Sakit hati pula tengok, patutnya dihidangkan dengan susu kelapa, air gula…
Video yang berdurasi 41 saat itu telah meraih hampir dua juta tontonan dengan 79,000 tanda suka sejak di muat naik di akaun tersebut pada Rabu.
Sumber: TikTok @Sora_fula