Majlis Ulama Indonesia (MUI) tampil memberi penjelasan dengan menyiasat dakwaan video yang tular berhubung penduduk mendaki Gunung Bawakaraeng di wilayah Sulawesi untuk melakukan ibadat haji baru-baru ini.
Menerusi laporan Banten TV, Ketua MUI bahagian Gowa, Abu Bakar Paka mengambil maklum terhadap kejadian yang tular di media sosial sekali gus menyatakan bahawa pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung isu terbabit.
Foto: IG @Makassar_info
Difahamkan, beberapa tahun sebelum ini, MUI dan pemerintah setempat pernah menyekat laluan di gunung tersebut memandangkan ritual haji itu merupakan perkara yang menyimpang daripada ajaran Islam.
“Kami masih menyiasat kebenaran dan akan berkoordinasi dengan Daerah Tinggimoncong untuk mengetahui kebenaran mengenai penyebaran video haji yang mengelirukan di Gunung Bawakaraeng,” katanya pada 5 Jun lalu.
Namun begitu, ritual haji di gunung tersebut berulang kembali kerana perbuatan tersebut dianggap sebagai tradisi turun-temurun penduduk setempat.
Foto: Tradisi naik ‘haji’ tahun-tahun sebelum ini
Sementara itu, salah seorang penduduk di kawasan tersebut yang dikenali sebagai Safri itu menyatakan bahawa tradisi naik haji di gunung itu bukan perkara baharu.
“Mereka datang dari beberapa daerah di Sulawesi Selatan secara berkumpulan beberapa hari menjelang Aidiladha.
“Mereka membawa barangan jampi serapah untuk upacara seperti beras, telur, ayam dan kambing ke puncak Gunung Bawakaraeng,” ujar Safri.
Sumber: Banten TV