Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan Bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Azizan Ariffin sebagai Pengerusi baharu manakala Ketua Pegawai Kewangannya Mohammad Ashraf Md Radzi sebagai Ketua Eksekutif bermula 1 April ini.
Menerusi satu kenyataan, Azizan mempunyai pengalaman 40 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pernah memegang banyak jawatan penting antaranya Panglima Operasi Udara dan Timbalan Panglima Tentera Udara.
“Beliau mencipta sejarah menjadi Panglima Angkatan Tentera pertama daripada Tentera Udara Diraja Malaysia.
“Latar belakang beliau yang luas dalam hal ehwal ketenteraan, diplomasi, dan pembangunan kepimpinan akan menjadi memainkan peranan penting dalam membimbing LTAT ke arah objektif strategiknya.
“Pada masa sama, meningkatkan peranan dalam menjaga kebajikan anggota ATM dan keluarga mereka,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Azizan mendapat pendidikan ketenteraan dari Air Command and Staff College (USA) dan National Defence College (India) serta mengikuti Kursus Asas Penerbangan di Australia, selain menerima kelayakan menjadi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia pada 7 Julai 1977.
Sementara itu, Mohammad Ashraf pula yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perakaunan dari Universiti Tenaga Nasional merupakan akauntan bertauliah dan telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan LTAT sejak empat tahun lalu.