Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan pihaknya memandnag serius dengan isu atlet tak bayar cukai pendapatan masing-masing
Menurut laporan Harian Metro, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim menjelaskan program kesedaran kepada atlet akan dipergiatkan supaya mereka peka dengan tanggungjawab masing-masing.
Isu atlet tak bayar cukai
Artikel lain: ISN Wujudkan Klinik Kesihatan Untuk Atlet Wanita
“Perkara ini memang menjadi satu isu dalam kalangan atlet sebab mereka bukan bergaji macam orang lain. Mereka masuk pertandingan, menang dan kemudian dapat insentif atau wang ganjaran daripada satu-satu kejohanan.
“Kadang-kadang banyak, kadang-kadang sikit. Ada satu-satu masa jumlah (ganjaran) yang diterima mereka itu perlu dicukaikan dan sebagainya.
“Ia (ganjaran) sebenarnya bukanlah jumlah tetap dan mereka (atlet) ada kesulitan untuk memahami cara mengurus (pendapatan),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Liga Sukan Komuniti (LSK) Peringkat Kebangsaan 2023, hari ini.
Bukan itu sahaja, sesi advokasi akan dilakukan dari semasa ke semasa yang akan melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (PLKN) mengenai kepentingan melunaskan cukai pendapatan.
“Kita sentiasa adakan sesi advokasi dari semasa ke semasa. LHDN juga dilibatkan bagi membantu terangkan cara mereka (ahli sukan) menguruskan kewangan masing-masing. Perkara ini sememangnya sedang digiatkan di peringkat MSN (Majlis Sukan Negara) dan jabatan-jabatan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 243 kes tunggakan cukai membabitkan komuniti sukan dengan jumlah keseluruhan kerugian mencecah RM15.873 juta.
Apa yang lebih mengejutkan, LHDN telah mengenalpasti 137 kes baharu dalam tempooh tujuh bulan yang membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM3.133 juta.
Bagaimanapun, statistik LHDN menunjukkan sukan bola dan badminton merupakan pembayar cukai paling tinggi berbanding sukan yang lain.
Sumber: Harian Metro