Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan ditemui meninggal dunia selepas tertinggal kira-kira 10 jam dalam kereta ibunya di kawasan parkir kenderaan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HTCM), Cheras, petang semalam.
Memetik laporan Berita Harian, ibu mangsa yang juga seorang doktor di hospital tersebut menyangka anaknya sudah dihantar ke taska sebelum bergerak ke tempat kerja.
Walau bagaimanapun, seperti dipetik laporan Astro Awani, sumber memberitahu bapa mangsa telah menghubungi isterinya untuk memaklumkan anak mereka tiada di taska serta meminta wanita itu pergi ke tempat letak kereta.
Foto hiasan
“Ketika bapa mangsa tiba di lokasi parkir kereta, dia mendapati isterinya sedang memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada anaknya dan meminta isterinya membawa mangsa ke wad kecemasakn untuk tindakan lanjut,” kata sumber.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dalam satu kenyataan berkata mangsa didapati tidak sedarkan diri pada jam 5.53 petang sebelum disahkan meninggal pada hari sama.
“Hasil siasatan awal mendapati pada jam 7.20 pagi, ibu mangsa meletakkan bayinya di tempat duduk belakang penumpang sebelah kiri dalam kereta untuk dihantar ke taska.
“Bagaimanapun, ibu mangsa terus memandu keretanya ke tempat kerja dengan anggapan mangsa sudah dihantar ke taska,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001, iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.
Sumber: Berita Harian (Safeek Affendy Razali), Astro Awani (Afiey Azaman)