Tindakan seorang penghantar makanan p-hailing yang merosakkan sebuah motosikal di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Puchong, Selangor adalah disebabkan bengang kenderaan itu perlu ditarik.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pemilik motosikal mempunyai tunggakan bayaran hampir tiga tahun sekali gus berlaku penarikan kenderaan tersebut.
Foto: BERNAMA
“Kejadian berlaku jam 3.10 petang pada 11 September lalu, lelaki itu menendang motosikalnya sendiri sebelum serah kepada ejen tarik kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anbalagan berkata, ejen tarik kenderaan membuat laporan berhubung penarikan motosikal pada hari yang sama di Balai Polis Brickfields.
Semalam, tular sebuah video memaparkan penghantar makanan itu bertindak agresif dengan menendang sebuah motosikal yang sudah terjatuh berulang kali sehingga beberapa bahagian dilihat mengalami kerosakan.
https://www.facebook.com/sstv.my/videos/1013013260119203
Susulan kejadian itu, warganet membuat pelbagai spekulasi termasuk berseloroh kononnya tindakan itu adalah bagi mendapatkan motosikal baharu daripada pempengaruh media sosial, Aisar Khaled.
Ini kerana pempengaruh itu baru sahaja menghadiahkan sebuah motosikal Yamaha LC kepada seorang penghantar makanan yang tular berjalan kaki sebaik motosikalnya disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sumber: Harian Metro (Muhaamad Hafis Nawawi), Facebook Sukar Star TV