Baru-baru ini, saham syarikat gergasi, Apple jatuh sebanyak 2.9 peratus yang disebabkan oleh negara China mahu memperkenalkan larangan penggunaan iPhone kepada agensi dan syarikat yang disokong pemerintah.
Keputusan tersebut telah mengundang kebimbangan pelabur mengenai keupayaan Apple selaku syarikat awam terbesar dunia untuk terus menjalankan perniagaan di China memandangkan negara tersebut merupakan ekonomi global kedua terbesar.
Mana tidaknya, dalam tempoh dua hari pada Rabu lalu, Apple telah mencatat kerugian berjumlah AS$200 bilion (RM935.6) bilion dan secara tidak langsung ia merupakan rekod terburuk dalam indeks perindustrian Dow Jones.
Difahamkan, China menjadi negara asing terbesar bagi pengeluar telefon pintar iPhone malah, jualan pula direkodkan satu perlima daripada pendapatan Apple tahun lepas.
Meskipun Apple tidak mendedahkan hasil jualan iPhone pada setiap negara namun, China mencatatkan hasil jualan lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat pada suku kewangan lalu.
Terdahulu, China melarang kakitangan kerajaan pusat menggunakan iPhone menerusi laporan berita yang dikeluarkan Wall Street Journal.
Bukan itu sahaja, firma-firma yang disokong kerajaan termasuk gergasi tenaga, PetroChina yang menggaji berjuta-juta pekerja dan mengawal sebahagian besar ekonomi China turut terlibat dalam keputusan tersebut.
Sumber: Kosmo!