Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menawarkan pengajian sepenuhnya buat anak sulung kepada pasangan yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta Proton Saga bersama empat anak lain pada Isnin di Sungai Korok.
Menurut laporan Harian Metro, Penolong Ketua Pegawai Agihan LZNK, Yusof Ahmad berkata, Puteri Qisya Nur Izzat, 12, akan berada dibawah seliaan sepenuhnya untuk menyambung persekolahan dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 di Sekolah Zakat Kedah.
Pun begitu, beliau berkata segala keputusan penerimaan bergantung sepenuhnya kepada Puteri Qisya dan waris.
LZNK tawar Puteri Qisya
“Ini adalah sebagai salah satu inisiatif jangka panjang untuk satu-satunya anak pasangan suami isteri itu yang tinggal untuk meneruskan kehidupannya.
“Hari ini kami datang ziarah Puteri Qisya kerana arwah ibunya, Nurul Hidayah Khalijah Razman Efendi, 31, juga adalah bekas pelajar bawah LZNK.
“Kami turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 serta kit makanan asas bagi meringankan beban keluarga mangsa yang masih bersedih dengan kejadian itu,” katanya.
Hadir sama, wakil Pusat Pengurusan Sedekah dan Wakaf Zakat Kedah, Pejabat Zakat Daerah Kubang Pasu serta pengurusan Sekolah Zakat Kedah.
Sementara itu, Puteri Qisya memberitahu dia masih belum bersedia untuk menerima tawaran tersebut.
Artikel lain: “Janji Dapat Teruskan Hidup” – Video Lama Pasangan Tragedi Enam Beranak Jual Roti Canai Murah Undang Sebak
Jenazah enam sekeluarga dikebumikan dalam satu liang lahad
Misteri kehilangan enam sekeluarga yang dikhuatiri hilang sejak Sabtu lalu selepas bermalam di rumah ahli keluarga di Taman Aman, Jitra akhirnya terjawab apabila kesemua mangsa ditemukan meninggal dunia dalam kereta Proton Saga Iswara yang tenggelam di dalam Sungai Korok, di sini hari ini.
Mangsa yang maut adalah pasangan suami isteri, Muhammad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7, dan Tuah Haidar yang baru berusia enam bulan.
Jenazah enam sekeluarga tersebut dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Taqwa pada jam 11.50 malam pada Isnin.
Sumber: Harian Metro (Zuliaty Zulkiffli)
