Beberapa jam selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, akaun Instagram milik ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf kembali aktif dengan hantaran yang menarik perhatian ramai.
Ibu Zayn Rayyan luah di IG story
Menerusi perkongsian di Instagram Story kira-kira dua jam selepas keputusan itu dibacakan, pengendali akaun tersebut mendakwa keluarga mereka menjadi mangsa ketidakadilan undang-undang.
 
“Saya mendoakan semua yang terlibat dalam penganiayaan termasuk yang memfitnah kami akan dilaknat Allah.
“Kepada pembunuh anak saya yang masih bebas di luar sana, semoga dibinasakan Allah dunia dan akhirat. Ini adalah penindasan terhadap rakyat marhaen. Kami adalah mangsa ketidakadilan undang-undang,” tulisnya.
Artikel lain: Ibu Didapati Bersalah Tuduhan Pengabaian Zayn Rayyan
Sementara itu, Harian Metro melaporkan, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira, 30, selepas didapati bersalah mengabaikan anak lelakinya, Allahyarham Zayn Rayyan, dua tahun lalu.

Foto: Harian Metro
Hakim Dr. Syahliza Warnoh memerintahkan hukuman tersebut bermula dari tarikh sabitan dan menolak permohonan peguam bela, Haresh Mahadevan, untuk menangguhkan pelaksanaan sementara menunggu rayuan difailkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Ismanira kemudian dibawa terus ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman.
Berdasarkan pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa mengabaikan anaknya yang ketika itu berusia enam tahun hingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Foto: BH
Kesalahan itu dilakukan di kawasan sekitar Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran antara jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Untuk rekod, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia pada 6 Disember 2023 di anak sungai berhampiran Pangsapuri Idaman, Damansara Damai kira-kira 200 meter dari rumahnya selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Sumber: Instagram @izzmanaf, Harian Metro (Raja Noraina Raja Rahim dan Muhamad Lokman Khairi)
 
						
									







































 
								
				
				
			 
					 
				 
				 
				 
				 
				