Lelaki etnik Rohingya yang pernah mencetuskan pelbagai kontroversi, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 36, akhirnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan selepas didapati bersalah merogol seorang wanita berstatus isteri orang, empat tahun lalu.
Keterangan isteri Long Tiger dilihat seperti rekaan
Hakim turut menyifatkan keterangan isteri tertuduh sendiri, yang menjadi saksi pembelaan, sebagai rekaan semata-mata dan tidak boleh dipercayai.
Memetik laporan daripada Berita Harian, keputusan itu dibuat oleh Hakim Irwan Suainbon di Mahkamah Sesyen hari ini selepas mendapati pembelaan tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan dikenakan.
“Selepas mendengar hujahan lisan dan bertulis yang difailkan oleh kedua-dua pihak, mahkamah dalam kes ini memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Malah, pembelaan dibuat tertuduh juga tidak dapat menyangkal kes prima facie pihak pendakwaan,” ujarnya.
Long Tiger rogol pekerja sendiri
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 19 tahun yang juga pekerjanya sendiri, di sebuah rumah di Taman Sri Jaya, Bukit Gambir, Tangkak pada 26 September 2019, antara jam 1 hingga 2.05 petang.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Arif Marzuki, dalam hujahnya menyifatkan perbuatan tertuduh sebagai sangat menjijikkan kerana dilakukan ke atas mangsa yang baru mengalami keguguran.
“Lebih menjijikkan apabila tertuduh merogol mangsa yang baru beberapa hari mengalami keguguran. Mangsa adalah pekerjanya hingga sanggup diperlakukan sedemikian,” dedah Timbalan pendakwa Raya.
Mahu baling selipar ke media
Hukuman penjara terhadap Long Tiger akan bermula selepas tamat hukuman empat tahun yang sedang dijalani atas kesalahan ugutan jenayah, selain pernah dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara kerana melarikan diri daripada tahanan.
Terdahulu ketika dibawa keluar dari kamar mahkamah, Long Tiger sempat melontarkan kata-kata sinis kepada petugas media dengan mengugut mahu membaling selipar andai mengambil gambarnya.
“Kalau ambil gambar aku, baling selipar!” jerkah Long Tiger.
Artikel lain: Dua Lelaki Menyamar Jadi Polis, Disyaki Perkosa Pelajar Universiti
Dengan keputusan ini, kes kontroversi melibatkan Long Tiger yang mencuri perhatian ramai sejak beberapa tahun lalu akhirnya sampai ke penghujungnya.
Sumber: Berita Harian (Alias Abd Rani)
