Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini membenarkan jaminan sebanyak RM1,500 setiap seorang terhadap lima remaja yang sebelum ini ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya dan menghalang laluan ambulans di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dua minggu lalu.
Lima pelajar dijamin RM1,500
Menurut laporan Harian Metro, kesemua tertuduh yang berusia 17 tahun membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Foto: Harian Metro
Mahkamah turut menetapkan setiap tertuduh dijamin dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Januari depan dan semua remaja terbabit telah menjelaskan wang jaminan berkenaan.
Artikel lain: Tular Video Dipercayai Pelajar Sekolah Berdua-Duaan Di Padang Awam
Menurut kertas pertuduhan, kelima-lima mereka menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dengan cara yang berbahaya di Kilometer 249 lebuh raya berkenaan arah selatan pada jam 3.15 petang, 19 Oktober lalu.
Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda minimum RM5,000 dan maksimum RM15,000.
Sabitan juga akan direkodkan pada lesen memandu mereka. Pertuduhan turut dibaca bersama Seksyen 91(1) Akta Kanak-Kanak 2021.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Mirza Zulaikha Mohd Fadzly, manakala semua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Soraya Hanafi.
Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin mengesahkan penahanan lima pelajar berusia 17 tahun itu selepas video tular memaparkan aksi mereka menunggang motosikal secara berbahaya ala gaya ‘Superman’ serta menghalang laluan ambulans yang sedang menuju ke lokasi kemalangan.

Foto: Kosmo!
Kesemua pelajar ditahan di sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Isnin lalu dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan selepas rakaman video berdurasi 33 saat itu dikesan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar.
Video tersebut dipercayai dirakam oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di dalam ambulans berkenaan, memaparkan lima penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya di atas lebuh raya.
Sumber: Harian Metro (Muhammad Zulsyamini Sufian Suri)







































