Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijadual mengumumkan kadar dividen bagi tahun kewangan 2025 pada Sabtu ini, lapor Kosmo! Online.
Agensi pengurusan dana persaraan itu telah mengedarkan jemputan kepada wakil media untuk menghadiri sesi taklimat khas yang akan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn.

Foto arkib: Bernama
Sebelum ini, beberapa penganalisis menjangkakan agihan dividen tahun ini berada pada tahap yang memberangsangkan, sekitar enam peratus.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, antaranya meramalkan kadar antara 5.8 hingga 6.3 peratus bagi Simpanan Konvensional, manakala Simpanan Syariah diunjurkan sekitar 5.5 hingga enam peratus, didorong prestasi pelaburan yang stabil dan kukuh sepanjang tahun.
“Kalau dilihat berdasarkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, KWSP berada pada landasan terbaik untuk meneruskan pencapaian cemerlang 2024.
“Sebagai perbandingan, pendapatan dividen KWSP bagi tempoh tersebut meningkat 11 peratus berbanding RM57.57 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun 2024 disebabkan pencapaian suku ketiga yang baik,” katanya.

Foto arkib: Bernama
Bagi tahun kewangan 2024, KWSP mengumumkan kadar dividen 6.3 peratus untuk kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah, sekali gus mencatatkan paras tertinggi sejak 2017.
Setakat 30 September 2025, dana persaraan itu merekodkan jumlah aset pelaburan sebanyak RM1.37 trilion, meningkat 12 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Sumber: Kosmo! Online







































