Seorang anggota tentera berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bentong, Pahang atas tujuh pertuduhan mencederakan rakan setugasnya termasuk seorang mangsa yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Menurut laporan Kosmo! Online, tertuduh Sukry Tasu, 37, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Aiman Azahan.

Foto: Bernama
Mengikut pertuduhan pertama, Sukry yang bertugas sebagai penjaga stor didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24.
Kejadian didakwa berlaku di stor senjata Kompeni C, Kem Askar Batalion Ke-25, Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Bentong pada 30 Mac lalu kira-kira pukul 8.30 pagi.
Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh, selain syarat tambahan supaya dia tidak mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Foto: Media sosial
Namun, peguam bela Mohamed Hafiz Baharudin memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan pendapatan bersih anak guamnya hanya sekitar RM1,800 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi pertuduhan pertama serta memerintahkan supaya dia tidak mendekati semua mangsa sepanjang tempoh perbicaraan.
Bagi pertuduhan kedua hingga ketujuh, Sukry didakwa menyebabkan kecederaan terhadap enam lagi anggota.
Mereka ialah Muhammad Irfan Aiman Mohd Tajudin, 19; Nik Amir Zaqwan Nik Asrizal, 19; Muhammad Syakirin Yaacob, 20; Mohammad Atiqillah Taugek Rashidi, 21; Muhamad Danial Asraf Azizah, 22; dan Muhammad Azman Shah Ismail, 22.
Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan tersebut dengan syarat tertuduh tidak mendekati kesemua mangsa sehingga kes selesai.

Foto: Komso! Online
Mahkamah menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.
Sumber: Kosmo! Online (Norfarhiza Mohd Atar)







































