Sebuah salun rambut di Subang Jaya, Selangor dikecam warganet apabila didakwa memaparkan elemen yang memperlekehkan agama Islam, khususnya berkaitan pemakaian hijab sambil meminum alkohol.
Isu tersebut menjadi perhatian selepas seorang pengguna aplikasi Threads, dikenali sebagai @w4terl1llys berkongsi tangkapan layar dan ulasan terhadap video yang dimuat naik dari akaun Instagram salun terbabit.
“Saya ternampak iklan untuk sebuah salun, tapi terus hilang minat lepas tengok Insta Story dimuat naik. Nampaknya mereka macam buat Secret Santa di mana ada orang dapat hadiah cantik dan hadiah buruk. Salah satu hadiah buruk ialah hijab,” tulisnya pada Isnin.
Video berdurasi 12 saat itu memaparkan penampilan seorang individu yang ‘kononnya’ memakai hijab, namun meneguk tin minuman dipercayai mengandungi alkohol.
Sementara itu, menurut @w4terl1llys, kandungan tersebut bukan sahaja tidak sensitif, malah dilihat seolah-olah mempersendakan ajaran Islam apabila hijab digambarkan dalam konteks negatif.
“Walaupun sasaran pelanggan mereka mungkin bukan dalam kalangan Muslim, itu bukan alasan untuk menjadikan hijab sebagai bahan jenaka atau ejekan dan memuat naiknya secara terbuka,” ujarnya.
Isu berkenaan sekali gus mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial, dengan ramai menyuarakan rasa kesal terhadap kandungan yang dianggap tidak menghormati kepelbagaian agama dan budaya dalam masyarakat.
Tak lawak, biadab!
Dah nak masuk 2026, kenapa ada perangai macam ni lagi?
Boleh ganggu keharmonian negara
Sumber: Threads @w4terl1llys







































