Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM50.716 juta untuk pelaksanaan 25 projek pembangunan infrastruktur, ekonomi dan modal insan di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) tahun ini.
Menurut satu kenyataan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, KEDA akan memperuntukkan RM11.3 juta melalui sembilan program bantuan ekonomi dan keusahawanan yang memfokuskan kepada peniaga, petani dan usahawan.
Foto: FB KKDW
“Projek berkenaan termasuk sebelas projek prasarana bernilai RM30.5 Juta, enam projek ekonomi dan pertanian berjumlah RM8.45 juta, lima projek pembangunan modal insan sebanyak RM8.875 juta dan tiga projek usahawan dengan kos RM2.85 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan program iftar Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al- Falah, Felda Sungai Tiang pada Ahad.
Ahmad Zahid turut menyerahkan geran hak milik rumah PPRT Desa KEDA Teluk Teduri, Baling kepada 11 keluarga yang melibatkan peruntukan sebanyak RM3 juta sekali gus bantuan bagi Program bantuan Ekonomi dan Keusahawanan KEDA berjumlah RM2.585 juta kepada wakil penerima.
Foto: FB KKDW
Peruntukan sebanyak RM75,000 juga diserahkan kepada wakil kepimpinan Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa-Desa KEDA seluruh negeri Kedah bagi Program Pengimarahan Masjid sepanjang Ramadan.
“Selain itu lima penerima Program Agromakanan RISDA menerima bantuan berjumlah RM 100,000,” ujarnya.
Seramai 144 murid di Zon Pendang turut menerima bantuan kelengkapan sekolah melalui Program ‘Welcome to School’ sumbangan FELDA dengan jumlah RM21,600.
“Tidak ketinggalan sumbangan duit raya kepada 100 pelajar tahfiz, anak yatim, ibu tunggal dan guru agama dengan jumlah keseluruhan RM10,000,” tambahnya lagi.
Foto: FB KKDW
Sementara itu, program iftar yang memasuki tahun kedua penganjurannya tersebut bertujuan merapatkan ukhwah masyarakat desa bersama kementerian dan agensi.
Hampir 2,000 masyarakat setempat diraikan di Majlis Santunan Kasih Ramadan di lokasi kelapan program anjuran KKDW ini dan dijangka majlis berikutnya akan diadakan di Kuala Langat, Selangor kemudian berakhir di Bagan Datuk, Perak.