Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani secara rasmi dinobatkan sebagai pasangan No. 1 dunia dalam kemas kini ranking terbaharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.
Pasangan tersebut berjaya mengumpul 91,090 mata, sekali gus merampas takhta teratas daripada gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang kini berada di tangga kedua dunia dengan kutipan 90,411 mata.

Kredit Foto: Izzrafiq Alias | The Star
Sze Fei-Izzuddin Kini Beregu Lelaki No. 1 Dunia
edudukan ketiga pula terus diduduki pasangan negara yang juga juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, selepas muncul naib juara di kejohanan Malaysia Masters yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada hujung minggu lalu.
Sementara itu, pemenang Malaysia Masters, Man Wei Chong-Tee Kai Wun melonjak satu anak tangga ke kedudukan No. 7 dunia selepas mencatat 72,393 mata. Gandingan muda ini semakin menyerlah dan menjadi antara sandaran utama skuad beregu lelaki negara.
Bagaimanapun, pasangan Arif Junaidi-Yap Roy King mengalami sedikit penurunan apabila turun satu tangga dari kedudukan ke-22 ke No. 23 dunia dengan jumlah mata sebanyak 47,030.
Dalam kalangan beregu profesional negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Weei Kiong kini menduduki ranking ke-28 dunia dengan 42,540 mata, diikuti Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di tempat ke-32 (38,060 mata), dan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong di tangga ke-39 dunia (34,770 mata).
Satu lagi pasangan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri kekal di kedudukan ke-41 dunia dengan 33,010 mata. Pasangan ini pernah menghuni kelompok 20 terbaik dunia, namun terpaksa berdepan penurunan ranking selepas Haikal mengalami kecederaan sejak Disember tahun lalu. Mereka baru sahaja kembali beraksi bulan ini.
Artikel lain: Masters Malaysia: Malaysia Tamat Penantian 12 Tahun, Sah Juara Beregu Lelaki
Dalam kategori beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah terus mengekalkan kedudukan No. 4 dunia dengan 82,466 mata. Sementara itu, gandingan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing kekal di tangga ke-24 dunia dengan 40,690 mata.
Untuk perseorangan lelaki, Lee Zii Jia masih berada di tangga ke-13 dunia dengan kutipan 57,990 mata. Rakan senegara, Leong Jun Hao pula kekal di kedudukan ke-25 dunia dengan 47,571 mata, manakala Justin Hoh berada di tempat ke-45 dengan 33,746 mata.
Dalam acara beregu campuran, Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei terus berada dalam kelompok terbaik dunia di ranking keempat dengan 80,033 mata. Gandingan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, yang gagal mempertahankan gelaran di Malaysia Masters, turun ke tangga kelima dunia dengan 76,888 mata. Pasangan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin pula kekal di kedudukan ke-14 dunia dengan kutipan 55,443 mata.
Sementara itu, dalam kategori perseorangan wanita, Goh Jin Wei menduduki tangga ke-48 dunia dengan 32,125 mata, diikuti K. Letshanaa di tempat ke-51 dengan 31,588 mata.
Sumber: The Star
