Seramai 12 anggota polis kini direhatkan daripada tugas aktif sementara disiasat berhubung kes kecurian mata wang kripto milik seorang warganegara China.
Curi wang kripto
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, menjelaskan siasatan masih giat dijalankan, termasuk merakam keterangan individu berkaitan, sebelum sebarang tindakan susulan diambil.
“Buat sementara ini, mereka tidak diberikan sebarang tugas aktif. Mereka berada di pejabat supaya siasatan dapat dijalankan dengan lebih baik dan sempurna,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Sumbangan Yayasan Seri Negara dan Penyerahan Zakat Wakalah PBLT Sdn Bhd, yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini.
Mohd Khalid menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dengan kegiatan jenayah.
“Tindakan ini tidak akan berhenti di sini. Kami akan memastikan bahawa sebarang pelanggaran undang-undang akan disiasat, kertas siasatan dibuka, dan pertuduhan akan dikenakan seperti yang sewajarnya,” tambah beliau.
Artikel lain: Padah ‘Promote’ Iklan Mata Wang Kripto, Kim Kardashian Didenda Lebih RM4 Juta
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, mengesahkan penahanan 12 anggota polis berhubung kes samun yang melibatkan kerugian mata wang kripto milik warga asing, yang dilaporkan berlaku di daerah Kajang awal bulan ini.
Sumber: Berita Harian







































