Cerun sebuah kedai makan di Seksyen 45.9, Laluan Persekutuan 185 (FT 185: Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands) yang runtuh seperti tular di media sosial disahkan bukan berada di bawah seliaan atau rizab Jabatan Kerja Raya (JKR).
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, kawasan kejadian sebenarnya terletak di Kompartmen 31, Hutan Simpan Bukit Kinta.
“Walaubagaimanapun, melalui semakan awal, lokasi tersebut adalah merupakan kawasan tanah tambak dan risiko kejadian tanah runtuh adalah tinggi.
“Sehubungan dengan itu, merujuk kepada keadaan semasa pihak JKR menasihatkan supaya lokasi tersebut ditutup daripada sebarang aktiviti bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kedai Makan Sebelah Tanah Runtuh
Menurut beliau, tindakan penutupan lokasi berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Hutan serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkaitan.
Jelas Mohamad Nizar, kawasan tanah runtuh itu terletak di Kompartmen 31 Hutan Simpan Bukit Kinta dan berhampiran dengan kawasan kedai makan yang beroperasi di situ.
“Untuk pengetahuan, kawasan kedai makan tersebut telah diberikan kelulusan Permit Penggunaan bagi tujuan sewaan tapak kedai makan & minum seluas 0.4 hektar.
“Tempoh kuat kuasa Permit Penggunaan mulai 16 Mei 2025 hingga 31 Disember 2025. Kelulusan Permit Penggunaan ini telah dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak,” katanya.
Artikel lain: JAKIM Siasat Individu Islam Terlibat Dalam Program Interfaith Water Ceremony
Beliau turut memaklumkan bahawa tindakan dan laporan awal Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan mengeluarkan notis penutupan kepada pemegang permit bermula 26 Disember 2025 selama tempoh satu bulan sehingga siasatan lengkap dijalankan.
Terdahulu, tular beberapa keping gambar di media sosial memaparkan keadaan cerun yang terhakis berhampiran sebuah kedai makan di Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai aspek keselamatan di lokasi berkenaan.
Sumber: MG Perak (Mohamad Hafizi)










































