Kapal tentera Itali dilaporkan akan berhenti mengiringi armada antarabangsa Global Sumud Flotila (GSF) yang kini berlayar ke Gaza, sekali gus mendedahkan lebih 500 aktivis termasuk ahli Parlimen, peguam dan aktivis iklim Greta Thunberg kepada kemungkinan serangan Israel.
Kapal tentera Itali tarik diri
Memetik laporan daripada REUTER, kementerian pertahanan Itali memaklumkan kapal frigat mereka hanya akan mengiringi konvoi sehingga 150 batu nautika (278 kilometer) dari pantai Gaza sebelum menarik diri.
“Itali juga menggesa agar bantuan itu diturunkan di pelabuhan Cyprus, namun permintaan tersebut ditolak berulang kali oleh GSF.
“Kami katakan sekali lagi, armada ini akan terus berlayar. Tentera laut Itali tidak akan menggagalkan misi ini. Tuntutan kemanusiaan untuk memecahkan sekatan tidak boleh dibawa pulang ke pelabuhan,” tegas GSF.
![]()
Kapal tentera Itali gesa bantuan diturunkan di Cyprus
GSF terdiri daripada lebih 40 bot awam yang bertujuan memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.
Minggu lalu, flotila itu diserang dron bersenjata bom tangan serta bahan perengsa di luar perairan Greece, namun tiada campur tangan ketenteraan ketika itu.
Israel setakat ini enggan menjawab tuduhan flotila mengenai serangan tersebut, namun tetap berikrar akan menggunakan apa sahaja cara bagi menghalang bot bantuan daripada tiba ke Gaza.
Tentera negara itu mendakwa sekatan yang dilaksanakan adalah sah kerana sebahagian daripada perang mereka terhadap Hamas.
Aktivis siap sedia hadapi serangan
Jurucakap Itali untuk GSF, Maria Elena Delia, mendakwa aktivis kini bersiap sedia menghadapi serangan baharu.
“Israel mungkin akan menyerang kami malam ini, kerana semua isyarat menunjukkan perkara ini berlaku,” katanya dalam satu video di Instagram.
Anggap tindakan Itali satu sabotaj
Dalam pada itu, mereka juga menganggap tindakan kapal Itali sebagai satu bentuk sabotaj memandangkan ia membuka ruang kepada aktivis yang terlibat kepada bahaya memandangkan mereka hampir sampai ke Gaza bagi menyerahkan bantuan.
Artikel lain: Sudah Memasuki Zon Kuning, Peserta GSF Diarah Tidur Dengan Pasport
Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto, pula menjangkakan bot flotila akan dipintas di laut terbuka dan aktivis ditahan, manakala Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, menggesa misi itu dihentikan dengan alasan ia boleh menjejaskan harapan terhadap pelan damai yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Sumber: REUTER, Instagram globalsumudflotilla
