Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor mengesahkan menerima tiga laporan membabitkan sebuah pusat asuhan kanak-kanak yang dipercayai gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), termasuk dakwaan penderaan di beberapa lokasi sekitar negeri ini.
Menurut laporan Kosmo! Online, Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim memaklumkan, kesemua aduan sedang disiasat dan pegawai jabatan telah diarahkan turun ke premis terlibat pagi ini bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Setakat ini, JKM menerima tiga aduan melibatkan cawangan taska berkenaan di Seksyen 3, Kota Kemuning dan Puchong Prima.
“Semua kes ini dalam siasatan JKM dan tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan selesai,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial satu rakaman video baharu yang memaparkan kanak-kanak daripada jenama taska sama di cawangan Puchong didakwa diarahkan merangkak dalam longkang bagi mengelak pemeriksaan JKM.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan beberapa pengasuh di sebuah taska swasta di Shah Alam didakwa bertindak kasar apabila mengurung seorang kanak-kanak autisme di dalam bilik stor, selain memaksa seorang bayi meminum susu dengan cara mengepitnya menggunakan kaki, sekali gus mengundang kecaman ramai.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan beliau menerima laporan daripada Timbalan Ketua Pengarah MARA selepas perkara itu dimaklumkan oleh pempengaruh terkenal, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli.
“Buat masa ini terdapat dua premis di bawah pembiayaan MARA iaitu di Klang dan Bestari Jaya. Namun, kejadian yang didakwa berlaku di Kota Kemuning tidak melibatkan operator di bawah pembiayaan MARA,” ujarnya.
Sumber: Kosmo! Online (Mohd Yunus Yakkub)







































