Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) menyeru agar pihak berkuasa tempatan (PBT) menilai semula dan memperincikan syarat penglibatan jenama berskala besar di bazar Ramadan supaya kepentingan peniaga kecil tidak terjejas.
Menurut laporan Malaysiakini, Presidennya Zainal Abidin Abd Majid berkata, tindakan itu penting bagi memastikan fungsi asal bazar Ramadan sebagai ruang menjana pendapatan untuk golongan B40 serta usahawan mikro terus dipertahankan dan tidak dipinggirkan.

Foto: Media sosial
Zainal Abidin berkata, walaupun tidak menolak persaingan sihat, penglibatan jenama besar dengan kekuatan modal dan pemasaran yang kukuh boleh mewujudkan ketidakseimbangan sehingga menekan peniaga kecil yang bergantung kepada musim Ramadan sebagai sumber pendapatan utama.
“GPPPKMM tidak menolak persaingan sihat dalam perniagaan.
“Namun begitu, kehadiran jenama berskala besar yang mempunyai kekuatan modal, jenama kukuh serta keupayaan pemasaran yang tinggi berpotensi mewujudkan ketidakseimbangan persaingan.
“Ini boleh memberi tekanan kepada peniaga kecil yang bergantung sepenuhnya kepada musim Ramadan untuk menampung kos sara hidup dan modal pusingan,” katanya pada Selasa.
Baru-baru ini, tular beberapa keping gambar memaparkan penglibatan jenama rangkaian besar seperti Zus dan Mixue yang menjalankan operasi perniagaan di tapak bazar Ramadan tahun ini.

Foto: Media sosial
Namun dalam masa sama, terdapat pengunjung menyifatkan ia bentuk persaingan sihat yang mampu memberi pilihan serta harga lebih murah kepada pengguna.
Sementara itu, bagi menangani isu berkenaan, GPPPKMM mencadangkan supaya PBT mengutamakan peniaga kecil tempatan dalam kelulusan tapak bazar.
Tambah Zainal, sekiranya jenama besar dibenarkan menyertai, mekanisme seperti kuota atau zon khas perlu diwujudkan bagi memastikan peluang penjaja kecil tidak terjejas.
“Pihak berkuasa tempatan perlu memperhalusi garis panduan penyertaan agar keutamaan diberikan kepada peniaga kecil tempatan,” ujarnya.
Sumber: Malaysiakini (Puteri Nordahlilah Azmi)







































