Jawatan EXCO Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi yang disandang oleh Fahmi Zainol telah tamat secara rasmi pada Rabu.
Pengumuman tersebut dibuat Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, pada sidang akhbar di pejabatnya pada Rabu.
“Saya ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan Yang Berhormat Fahmi Zainol sebagai Ahli Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri telah bertamat pada hari ini, 4 Mac 2026.
“Saya sudah bertemu dengan Yang Berhormat awal pagi ini dan beliau menerima keputusan ini,” katanya.
Jawatan EXCO Fahmi Zainol Tamat
Menurut Kon Yeow, cadangan nama pengganti akan dikemukakan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, pada petang Rabu untuk mendapatkan perkenan.
“Saya akan kemukakan cadangan penggantian kepada Tuan Yang Terutama Tun pada petang ini untuk perkenan.
“Setelah mendapat perkenan, pejabat saya akan mengeluarkan kenyataan bagi mengumumkan penggantian Ahli MMK untuk mengisi kekosongan yang timbul,” katanya.
Mengulas sama ada pengganti Fahmi adalah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kon Yeow menjelaskan ia boleh dianggap demikian memandangkan Fahmi mewakili parti itu dalam kerajaan negeri.
Ditanya sama ada akan berlaku rombakan portfolio EXCO susulan perkembangan itu, beliau berkata, pengumuman hanya akan dibuat pada hari mengangkat sumpah EXCO baharu minggu ini sekiranya terdapat sebarang pindaan.
Beliau turut menjelaskan tindakan berkenaan dibuat susulan surat rasmi daripada PKR yang meminta penggantian.
“Parti (PKR) kemukakan surat semalam (3 Mac) melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Fuziah Salleh yang minta penggantian. Itu bezanya.
“Dalam kes sebelum ini, saya tidak terima apa-apa surat permintaan daripada parti berkaitan untuk tindakan sewajarnya. Tetapi dalam kes ini, ada surat daripada parti untuk minta penggantian,” katanya.
Mengulas persoalan mengapa tindakan berbeza diambil berbanding kes lain yang turut melibatkan wakil rakyat termasuk kes melibatkan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, Kon Yeow berkata, setiap kes mempunyai pertimbangan tersendiri.
“Ada perbezaannya, bukan sekadar disiasat. Mungkin parti berkenaan merasakan sudah dihadapkan ke mahkamah dan mungkin ada sebab-sebab lain.
“Saya hormati keputusan parti kerana parti boleh membuat keputusan atas pelbagai pertimbangan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Fahmi yang merupakan EXCO negeri termuda digantung serta-merta daripada semua jawatan PKR sehingga kes mahkamahnya selesai.
Tindakan berkenaan dibuat susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak itu yang didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya.
Fahmi sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas tuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya dalam satu kejadian pada 22 Februari.
Artikel lain: Lebih Dari Sentimen Perkauman Dan Agama, Kor Ming Tak Perlu Masuk Campur – Fahmi Zainol
Bagaimanapun, Fahmi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Fahmi yang merupakan antara EXCO termuda dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang mengangkat sumpah jawatan itu pada Ogos 2023.
Kini, jawatannya akan diganti selepas cadangan rasmi diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri dan mendapat perkenan rasmi.
Sumber: Utusan Online












































