Malaysia melakar sejarah baharu dalam pengurusan sumber air apabila Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor memulakan inisiatif bekalan air kumbahan terawat khas untuk sektor pusat data.
IWK bekal 12 juta liter sehari air kumbahan berawat
Melalui program ini, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd akan membekalkan sehingga 12 juta liter sehari air kumbahan terawat kepada Loji Air Pulih Guna yang menyokong operasi dua pusat data utama di negeri itu, Bridge Data Centres (BDC) dan Computility Technology (Malaysia).
Menerusi satu kenyataan bersama, PETRA dan Kerajaan Negeri Johor berkata langkah ini membuktikan Johor menjadi peneraju dalam mengurangkan tekanan terhadap bekalan air terawat sambil memacu pertumbuhan industri teknologi secara mampan.
“Pusat data adalah antara pengguna air terbesar, khususnya untuk sistem penyejukan. Dengan adanya sumber air alternatif seperti ini, kita bukan sahaja memastikan kelangsungan operasi, malah melindungi sumber air negara,” kata mereka pada Isnin.
Selain itu, Johor Special Water (JSW), anak syarikat Permodalan Darul Ta’zim turut membekalkan sumber air alternatif lain kepada Dayone Data.
PETRA berkata, projek ini selaras dengan komitmen negeri untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan amalan lestari.
“Pusat data merupakan antara pengguna utama air terawat, khususnya bagi tujuan sistem penyejukan.
“Justeru, langkah untuk mempelbagaikan sumber air alternatif melalui pendekatan mampan bukan sekadar keperluan operasi, malah merupakan satu tanggungjawab bersama untuk melindungi sumber air negara dan menyokong pertumbuhan industri untuk berdaya tahan,” ujarnya.
Artikel lain: PETRA Anjur MYWATER 2025, Komited Urus Air Negara Secara Mampan & Bersepadu
Usaha ini juga menyokong hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR2040) yang menekankan kepelbagaian sumber air dan pengurangan kebergantungan kepada air mentah.
“Wajar kejayaan negeri Johor dalam membangunkan industri pusat data dicontohi oleh negeri-negeri lain terutama dalam penggunaan air dipulih guna dan tenaga hijau.
“Selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan aspek kemampanan sumber dan keterangkuman, PETRA menyokong usaha ini yang dilaksanakan secara bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor bagi memastikan masa depan sumber air negara yang lebih terjamin dan inklusif.
