Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian memaklumkan bahawa diaspora atau komuniti Aceh di Malaysia pada awalnya berhasrat menghantar bantuan beras kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di Aceh.
Indonesia tolak bantuan beras
Menurut laporan Kompas, bagaimanapun sumbangan beras itu ditolak kerana Indonesia sudah mampu memenuhi keperluan beras sendiri.
Sebaliknya, beliau memaklumkan bantuan lain seperti minyak masak dan gula pasir masih dalam proses penelitian untuk dibenarkan masuk ke Indonesia.
Menurut Tito, warga Aceh di Malaysia telah mengumpulkan pelbagai bentuk bantuan termasuk minyak masak bernilai Rp1 bilion, gula pasir Rp50 juta, air mineral Rp672 juta, makanan siap saji Rp1 bilion, pakaian baharu Rp126 bilion, al-Quran Rp1 bilion serta kemudahan tandas bernilai Rp4.8 bilion.
Artikel lain: Datuk Bandar Medan Pulangkan Bantuan 30 Tan Beras Dari UEA
Namun begitu, kesemua barangan berkenaan kini masih tertahan di Pelabuhan Port Klang dan belum dapat dihantar ke Pelabuhan Lhokseumawe seperti yang dimohon.
Tito menjelaskan pihaknya telah menghantar surat kepada Kementerian Kewangan, Direktorat Jenderal Bea Cukai bagi mendapatkan kelulusan kemasukan barangan tertentu, khususnya minyak masak dan gula pasir yang memerlukan persetujuan daripada kementerian teknikal iaitu Kementerian Pertanian.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan isu pakaian baharu bernilai Rp126 bilion yang dikhuatiri boleh memberi kesan kepada industri tempatan jika tidak dikawal dengan baik.
Bagaimanapun, Tito memohon agar bantuan berkenaan dapat dipertimbangkan demi menjaga hubungan baik kerana sumbangan itu datang daripada kumpulan keluarga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau menegaskan semua barangan perlu melalui pemeriksaan bagi memastikan tiada unsur terlarang seperti dadah atau senjata sebelum dibenarkan masuk ke negara itu.
Beliau juga memberi jaminan bahawa bantuan yang diluluskan kelak akan diawasi secara langsung dari pelabuhan dengan kerjasama pihak berkuasa supaya terus disalurkan kepada mangsa di pusat pemindahan dan tidak disalah guna atau dijual.
Menurutnya lagi, pihak Bea Cukai telah memaklumkan bahawa kemasukan minyak masak dan gula pasir tertakluk kepada kelulusan Kementerian Pertanian, manakala kemasukan pakaian baharu perlu dipastikan tidak menjejaskan pengeluaran dalam negara.
Tito turut menyatakan kesediaannya untuk bertanggungjawab sekiranya terdapat penyelewengan dalam pengagihan bantuan tersebut.
Sumber: Kompas







































