Harga minyak mentah melonjak pada Isnin dalam dagangan pasaran Asia susulan pergolakan di Asia Barat selepas serangan ketenteraan melibatkan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.
Menurut laporan agensi, minyak mentah Brent meningkat melepasi AS$80 (RM313.11) setong berbanding harga penutup Jumaat AS$72.87 (RM285.18), sebelum susut sedikit ke bawah AS$79.
Harga Minyak Melonjak
Brent, penanda aras antarabangsa bagi minyak mentah, telah mencatat kenaikan sepanjang minggu lalu menjelang serangan yang bermula Sabtu, termasuk pengorbanan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Pergolakan serantau itu turut menjejaskan keselamatan pengangkutan maritim di Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia.
Walaupun Iran tidak menutup selat itu secara rasmi, Pengawal Revolusi negara berkenaan memberi amaran supaya kapal tidak melalui perairan tersebut. Semalam, sekurang-kurangnya dua kapal dilaporkan diserang — satu di luar pantai Oman dan satu lagi di perairan Emiriah Arab Bersatu, menurut agensi keselamatan maritim Britain.
Artikel lain: Konflik Asia Barat: Ruang Udara Ditutup, Syarikat Penerbangan Perlu Jaga Kebajikan Penumpang Terkandas – CAAM
Ketua penyelidikan Timur Tengah dan OPEC+ di firma Kpler, Amena Bakr, berkata:
“Dalam situasi sebegini, kos insurans menjadi terlalu tinggi dan harga minyak boleh mencecah AS$90 setong.”
Sementara itu, penganalisis Rystad Energy, Jorge Leon, memberi amaran bahawa penutupan Selat Hormuz berpotensi mengakibatkan kehilangan bekalan minyak mentah antara 8 hingga 10 juta tong sehari.
“Walaupun terdapat laluan alternatif, kesan bersih daripada penutupan Selat Hormuz tetap besar,” katanya.
Secara teori, negara pengimport minyak mempunyai rizab strategik, dengan anggota Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) diwajibkan menyimpan stok minyak selama 90 hari.
Namun, penganalisis menekankan bahawa harga melebihi AS$100 setong tidak boleh diketepikan jika sekatan berterusan.
Di pasaran saham, indeks Nikkei Jepun susut 2.2 peratus dalam dagangan awal, manakala pasaran Sydney turun 0.5 peratus. Pelaburan selamat, emas, meningkat dua peratus.
Sumber: BBC












































