Connect with us

Hi, what are you looking for?

Lokal

Gaduh Di Balai Polis: Rebut Kawasan Sekuriti Dipercayai Punca

Perebutan kawasan sekuriti di sebuah tapak perumahan dipercayai menjadi punca tercetusnya kekecohan dan pergaduhan membabitkan dua kumpulan di pekarangan Balai Polis Meru, Klang, Isnin lalu.

Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil siasatan awal mendapati semua individu yang terbabit saling mengenali dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Beliau memaklumkan, setakat ini polis sudah menahan lapan lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

“Tangkapan pertama melibatkan lima suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun yang telah direman tiga hari sehingga 5 Mac sebelum dilanjutkan sehari lagi.
“Tangkapan kedua melibatkan dua lelaki berusia 39 dan 44 tahun dan telah direman tiga hari sehingga 6 Mac, manakala tangkapan ketiga membabitkan seorang lagi individu yang turut direman tiga hari sehingga 7 Mac,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, hari ini.

Foto: Sinar Harian

Beliau berkata, semakan lanjut terhadap rekod lampau mendapati sebahagian suspek mempunyai sejarah jenayah berat termasuk kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, cubaan bunuh (Seksyen 307), samun berkumpulan di bawah Seksyen 395/397, selain kes merusuh menggunakan senjata dan pecah rumah.

Menurutnya, seorang daripada mereka juga tersenarai sebagai individu dikehendaki di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis benzodiazepine (benzo).
“Polis telah merampas satu topi keledar dan sebatang besi paip yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut,” ujarnya.

Shazeli menegaskan polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang berani mencabar kewibawaan pasukan keselamatan serta menggugat ketenteraman awam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata, Seksyen 427 kerana melakukan khianat, dan Seksyen 324 kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata.
“Siasatan turut dijalankan di bawah peruntukan Akta Polis 1967 serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958,” jelasnya lagi.

Sumber: Sinar Harian (Muhammad Afham Ramli)

Ditulis oleh

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Sosial

Pempengaruh media sosial, Aqil Zulkiflee, tampil menjelaskan hubungannya bersama isteri selepas video siaran langsung TikTok yang memaparkan beliau menyakat isterinya tular di media sosial....

Sosial

Pihak pengurusan Masjid At-Taqwa TTDI tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan dakwaan insiden layanan kasar terhadap jemaah yang tular baru-baru ini. Masjid At-Taqwa...

Sosial

Kos liang lahad bagi lima mangsa yang terkorban dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Dong, awal pagi Khamis akan ditanggung menggunakan dana...

Nasional

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) umum dividen 6.15 peratus untuk kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. Ketua...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd