Perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang tidak akan dikembalikan buat masa ini berikutan kos penyelenggaraan yang tinggi serta beberapa cabaran lain, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, selain faktor kos, kesukaran mendapatkan alat ganti dan ketiadaan terminal feri khusus juga menjadi halangan untuk menghidupkan semula perkhidmatan berkenaan.
“Untuk membina sebuah terminal feri yang baharu buat masa ini mungkin agak mustahil. Jadi, kita putuskan bahawa perkhidmatan feri baharu yang sedang digunakan ketika ini sebagai perkhidmatan gantian kepada perkhidmatan feri ikonik,” katanya.
Feri Ikonik Pulau Pinang Tidak Akan Dikembalikan
Perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang telah dihentikan operasinya sejak 2020 dan digantikan dengan perkhidmatan feri baharu yang lebih moden bagi membawa penumpang serta kenderaan dua roda.
Artikel lain: KTM Tawar Tambang Percuma Dua Hari Sempena Thaipusam – Loke
Anthony menambah, walaupun feri ikonik tidak beroperasi, orang ramai masih boleh merasai suasana klasik feri melalui Muzium Feri atau sebuah restoran terapung yang dibina berkonsepkan feri tersebut.
“Bagi perkhidmatan feri penumpang pula, ketika ini kita sudah ada empat buah dan jika ada permintaan yang tinggi, kita akan tambah menjadi lima,” jelas beliau.
Tambahnya, perkhidmatan feri di Pulau Pinang tidak berorientasikan keuntungan kerana kadar tambangnya dikawal selia oleh kerajaan setiap masa.
Sumber: Utusan Online (Iswan Shafiq Isa)











































